Gadis berusia 17 tahun maut ditembak depan ibu tercinta, jadi mangsa lelaki obses

Iklan

KETIKA dunia sedang giat memperjuangkan keselamatan wanita di alam realiti dan maya, seorang gadis yang turut memperjuangkan perkara sama akhirnya menjadi korban kepada obsesi seorang lelaki.

Baru-baru ini, tular di media sosial seorang pempengaruh, Sana Yousaf maut selepas ditembak mati oleh seorang pemuda di kediamannya dekat Islamabad.

Iklan
Iklan

Menurut Ketua Polis Islamabad, Syed Ali Nasir Rizvi, suspek yang dikenali sebagai Umar Hayat, dipercayai telah berulang kali mencuba nasib untuk berkenalan dengan gadis berusia 17 tahun itu namun tidak pernah diendahkan.

Bagaimanapun, suspek yang sekian lama memendam rasa terhadap Sana akhirnya memberanikan diri untuk tampil bersemuka dan berjumpa di hadapan rumah gadis berkenaan.

Iklan

Mungkin kerana kecewa pelawaan yang ditolak mentah-mentah, lelaki berusia 22 tahun itu nekad mahu membalas dendam.

Dia yang sudah hilang pertimbangan bertindak menceroboh masuk ke kediaman mangsa sebelum melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa lalu melarikan diri.

Iklan

Malah, suspek sempat mencapai telefon bimbit milik mangsa untuk menghapuskan segala bukti yang boleh mengaitkannya.

Akibat insiden tragis itu, dua das tembakan yang dilepaskan dari jarak dekat menembusi dada mangsa dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Kejadian berdarah yang berlaku sekitar jam 5 petang itu disaksikan sendiri oleh ibu dan ibu saudara mangsa.

Sana kemudian dikejarkan ke Institut Sains Perubatan Pakistan (PIMS) untuk proses bedah siasat.

Menteri Dalam Negeri Pakistan, Mohsin Naqvi menerusi satu hantaran di platform X memaklumkan bahawa suspek akhirnya berjaya diberkas.

Turut dirampas ketika penahanan ialah telefon bimbit milik mangsa dan senjata yang dipercayai digunakan dalam insiden pembunuhan tersebut.

Menurut Mohsin, kejayaan menahan suspek adalah hasil daripada lebih 10 operasi pencarian intensif yang digerakkan di sekitar Islamabad serta beberapa bandar lain.

Umar juga telah mengaku bersalah atas pembunuhan seorang pempengaruh muda yang memiliki lebih 750,000 pengikut di platform TikTok.

Menurut pihak polis, pemuda tersebut yang berasal dari Faisalabad hanya menamatkan pendidikan hingga peringkat menengah dan berasal dari keluarga berpendapatan rendah.

Untuk rekod, Sana dikenali bukan sekadar kerana wajah manis dan kandungan kreatif, tetapi juga kerana keberaniannya bersuara mengenai hak wanita, pendidikan dan budaya Chitrali.

Wanita malang itu juga merupakan anak kepada seorang aktivis sosial tempatan.

Sumber: Sinar Harian, NST, NDTV WORLD