KEMATIAN bakal guru Pendidikan Khas, Nurly Sahirah Azman begitu dekat di hati sekali gus menginsafkan.
Hafiz 30 juzuk al-Quran itu meninggal dunia dalam keadaan yang mulia, dengan memeluk al-Quran selain tekun menjaga hafalannya dan rutinnya melazimi bacaan kitab suci itu.
Dalam perkongsian media sosial abang Nurly, Mohd Najmuddin Azman mendedahkan, al-Quran tulisan tangan milik adiknya sempat ditatap Yang Di Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail, Tengku Puteri Utama Raja, Yang Amat Mulia Tengku Nadhirah Zahrah dan Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Datuk Seri Fatimatuz Zahra’ yang berangkat mencemar dulu menziarahi keluarga.
"Menjunjung kasih Tuanku, mencemar duli berangkat ke rumah arwah Nurly.
"Tuanku tengok hasil tangan arwah menulis al-Quran pada buku. Itu merupakan amalan arwah untuk menguatkan hafazan arwah. Cantik sangat tulisan arwah," kongsinya.
Tidak hanya itu, kongsinya, ramai yang menziarahi rumah dan pusara Nurly.
"Aku tidak tahu apa lagi amalan kau dik. Semalam sampai malam orang berpusu-pusu datang ke rumah dan ke pusara kau dik.
"Ada yang datang dari jauh Utara dan Selatan ke rumah semata-mata mahu kenal siapa ibu ayah Nurly.
"ALLAH, bangga aku dengan dik. Kau menyedarkan aku, keluarga dan seluruh orang Islam betapa hebatnya mukjizat al-Quran ALLAH dik," kongsinya.
Terdahulu, Nurly Sahirah, pelajar Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meninggal dunia dalam nahas melibatkan sebuah bas di di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik Perak.
Para guru-guru Sekolah Menengah Imtiaz Besut juga memuji bekas pelajar mereka itu sebagai seorang yang menjaga hafalan al-Quran biarpun sudah bergelar hafiz selain pintar dan sopan tutur katanya.
Sekadar makluman, jenazah Nurly Sahirah dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Gong Pasir, Jerteh pada 4 pagi, Selasa selepas disolatkan bersama 12 lagi jenazah pelajar UPSI lain oleh kira-kira 3,000 jemaah di Masjid Hadhari, Jerteh.
Sumber: Facebook Najmuddin Azman