DETIK-detik terakhir tragedi Air India AI171 menyayat hati. Juruterbang, Kapten Sumeet Sabharwal, dilaporkan sempat membuat panggilan mayday hanya beberapa saat sebelum pesawat itu terhempas. Kapten Sumeet yang berpengalaman dengan lebih 8,200 jam penerbangan sempat memberi amaran cemas tidak lama selepas berlepas pagi Khamis lalu.
Beliau dan First Officer Clive Kunder yang mempunyai lebih 1,100 jam pengalaman di udara berjuang sedaya upaya cuba menyelamatkan 242 nyawa, termasuk nyawa mereka sendiri.
Hanya beberapa saat sebelum pesawat itu terjunam di pinggir bandar Ahmedabad dan terhempas ke sebuah kawasan perumahan dan merempuh sebuah kolej perubatan yang ketika itu dipenuhi doktor, pelajar dan kakitangan.
“Mayday… tiada daya tujahan, hilang kuasa, tak dapat naik,” katanya.
Dilaporkan, insiden tragis itu meragut sekurang-kurangnya 241 nyawa termasuk 229 penumpang dan 12 anak kapal. Pesawat Boeing 787-8 Dreamliner yang dalam perjalanan ke London itu baru sahaja naik ke paras 400 kaki apabila kedua-dua enjinnya dilaporkan gagal secara serentak. Penerbangan AI171 sepatutnya menempuh perjalanan sejauh 4,200 batu ke London dalam masa hampir 10 jam tetapi malangnya ia hanya mampu pergi terbang 1.5 batu dari landasan sebelum menjunam ke kawasan padat di Meghaninagar, Ahmedabad, Gujarat.
Dentuman kuat menggegarkan kawasan itu. Pesawat terhempas tepat ke asrama doktor di Kolej Perubatan BJ. Api menjulang ke langit. Debu dan serpihan logam berterbangan. Kawasan itu berubah menjadi zon bencana, seolah-olah sedang dilanda perang.
Kini, pakar-pakar penerbangan cuba memahami apa yang sebenarnya berlaku. Ada yang percaya kawanan burung mungkin disedut ke dalam enjin, menyebabkan kegagalan menyeluruh seperti insiden Jeju Air di Korea Selatan.
Pasukan penyiasat masih giat mencari kotak hitam kedua bagi merungkai punca sebenar insiden yang meragut 241 nyawa itu. Harapan kini tertumpu kepada data penerbangan bagi memahami apa sebenarnya terjadi dalam saat-saat genting itu.
Bangkai belakang pesawat sepanjang 186 kaki itu kelihatan terkeluar dari tingkat atas kolej. Sayap yang terputus dan cebisan besar pesawat bertaburan di kawasan sekitar.
Sekadar info, model 787-8 merupakan antara pesawat badan lebar paling laris di dunia.
Pesawat yang terlibat dalam nahas itu telah diserahkan kepada Air India pada Januari 2014, menurut laman sesawang penjejak penerbangan Flightradar24.
Sumber: Daily Mail, Bernama