Lukisan bas, jalan raya & karya kematian oleh Muhammad Mustaqim seolah isyarat tragedi Gerik. 'Seakan gambaran kemalangan itu...'

Iklan
Foto: Bernama

 

MASIH segar dalam ingatan kemalangan tragis yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Salah seorang daripadanya ialah bakal pendidik seni visual yang berbakat, Muhammad Mustaqim Rosde, 21.

Iklan
Iklan

Bagaikan tahu akan pergi selamanya, penuntut Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif itu sempat meninggalkan tiga karya hasil tangan seperti memberi bayangan akan kemalangan tragis di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) dekat Gerik, Perak minggu lepas.

Lapor Bernama, ibu Allahyarham, Juariah Abdul Rahman, 48, berkata lukisan sebuah bas, jalan raya berlatarbelakangkan hutan dan tulisan kreatif berkaitan kematian merupakan antara lebih 100 koleksi hasil seni Muhammad Mustaqim yang disimpan dalam fail di bilik tidur anak keduanya.

Iklan

Foto: Ihsan Sinar Harian

"Kalau belek betul-betul lukisan arwah, lukisan yang pertama memaparkan sebuah bas, lukisan kedua pemandangan jalan raya berlatarbelakangkan hutan dan terdapat juga penghadang jalan.

Iklan

"Manakala lukisan ketiga adalah pemandangan pokok-pokok yang disertakan tulisan atau kata-kata berkaitan kematian.

"la seakan-akan memberi gambaran akan kemalangan tersebut," kata wanita itu kepada pemberita di kediamannya di Kampung Telaga Nibung, Hulu Besut dekat sini selepas dikunjungi Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Foto: Nor Etyha

Pun begitu, Juariah memahami apa yang dilukis oleh anaknya yang mesra disapa Aqim itu.

Katanya, tragedi yang menimpa hanyalah satu kebetulan dan dia reda akan pemergian Muhammad Mustaqim.

Biarpun lukisan-lukisan berkenaan begitu cantik dan jika ada yang menyuarakan hasrat untuk membelinya, Juariah dan suami Rosde Yaakub, 58, sepakat untuk tidak menjual lukisan- lukisan Allahyarham.

Foto: Nor Etyha

"Biarlah lukisan-lukisan ini kami simpan sampai bila-bila. Ia merupakan peninggalan arwah yang sangat bermakna buat kami," tuturnya.

Sempat mengimbas kembali kenangan bersama Muhammad Mustaqim, kata Juariah, anaknya itu sememangnya memiliki bakat melukis sejak kecil.

Malah, Allahyarham bercita-cita untuk menjadi guru pendidikan seni selepas tamat pengajian di UPSI.

Sekadar info, Muhammad Mustaqim adalah antara 15 penuntut UPSI yang maut apabila bas yang disewa khas dari Jerteh untuk pulang ke kampus utama universiti itu di Tanjung Malim, Perak terbalik selepas terlibat kemalangan dengan sebuah Perodua Alza di JRTB pada awal pagi 9 Jun lalu.

Nahas berkenaan mengakibatkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas selain pemandu serta tiga penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV) itu.

Terdahulu, Ahmad Samsuri ketika ditemui pemberita berkata, program ziarahnya ke atas 15 keluarga mangsa yang terkorban di Besut dan Setiu hari ini turut menyaksikan keseluruhan sumbangan kerajaan negeri kepada mangsa dan keluarga terlibat telah selesai diagihkan.

Foto: Bernama

Menurutnya dua minggu ini adalah mustahak bagi keluarga mangsa kemalangan yang perlu diberikan perhatian.

"Ini satu tempoh yang sangat penting. Tempoh dua minggu pertama ini adalah tempoh untuk meredakan tekanan psikologi dan melihat di mana kerajaan negeri boleh beri bantuan untuk semua keluarga yang terlibat bagi membolehkan mereka 'move on' dalam kehidupan mereka

"Pemberian sumbangan (daripada kerajaan negeri) telah selesai dan kita sangat mengalu-alukan sumbangan daripada pihak luar termasuk syarikat-syarikat, mana-mana organisasi dan individu. Kita harap ia boleh memberi satu suntikan motivasi kepada anggota keluarga," katanya.

Baru-baru ini, Ahmad Samsuri mengumumkan bahawa kerajaan negeri menyalurkan bantuan kewangan secara sekali beri sebanyak RM3,000 kepada waris 15 penuntut yang terkorban manakala bantuan RM1,000 akan turut diberikan kepada 33 mangsa yang cedera dan terlibat dalam nahas itu.

Sumber: BERNAMA