'Kenapa awak tinggalkan saya…' Kisah misteri wanita ‘S’ & arwah Mustaqim, pelajar UPSI terlerai. Luahan hati bikin sebak!
SEMINGGU telah berlalu tetapi kenangan pahit masih terpahat di jiwa setiap ahli keluarga dan rakan-rakan mangsa nahas bas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Banyak cerita yang muncul tentang kehidupan mangsa-mangsa yang terlibat.
Kisah arwah Muhammad Mustaqim Rosde tidaklah tular tetapi apabila dilihat di TikTok, rupanya ada misteri yang warganet mahu rungkaikan.
Ramai yang mencari-cari siapakah gerangan wanita ‘S’ yang sering dimuat naik arwah menerusi media sosial miliknya.
Tanda tanya itu akhirnya terbongkar apabila pemilik akaun TikTok @lvdy.sy berkongsi kisah perkenalan yang penuh bermakna bersama arwah.

“Dua minggu lepas awak ada bagi bunga pada saya. Perempuan pertama yang awak bagi bunga selain daripada ibu dan kakak sendiri. Ya ALLAH! Awak tunggu saya sejak 2023 tapi sampai sekarang saya belum beri jawapan.
“Dah banyak kali awak bagi petunjuk yang awak ikhlas dengan saya. Maafkan saya sebab buat awak menunggu. Awak selalu cakap nak tunggu saya tapi sekarang awak yang tinggalkan saya dahulu,” ujarnya.
Tambahnya lagi, pada hari kejadian, dia pada mulanya bersangka baik bahawa arwah terselamat namun takdir menentukan segalanya. Dia terkejut apabila melihat wajah arwah termasuk dalam kalangan pelajar UPSI yang terkorban dalam kemalangan tersebut.
“Awak janji tidak akan meninggalkan saya dan rakan-rakan lain tetapi kenapa awak tipu saya. Terima kasih sebab banyak tolong saya. Selalu bagi semangat. Awak pernah beritahu nak kenalkan saya dengan kakak awak tapi tak sempat sebab masing-masing sibuk.
“Awal-awal kenal dulu, saya minta awak lukiskan muka saya tapi awak tak pandai sangat lukis muka orang. Awak hadiahkan saya lukisan lain. Saya hargai sangat. Saya masih simpan lukisan tu daripada orang yang betul-betul ikhlas berkawan dengan saya,” katanya lagi.
Kisah yang dimuat naik oleh wanita itu mendapat perhatian netizen sehingga meraih sejuta tontonan. Mereka yang meninggalkan komen mengatakan hubungan ‘green flag’ ini jarang berlaku sekarang ini.
Arwah pergi dengan tenang tanpa ada hubungan yang tidak sepatutnya. Betul-betul jaga batas pergaulan. Tidak pernah bertemu dengan wanita yang diidamkan.
Ibu arwah turut menceritakan tentang kebaikan anaknya yang baik akhlak, rajin pergi masjid, rajin mengaji dan tidak pernah keluar lepak dengan kawan-kawan.
“Awak pergi dengan reda semua orang. Cantik ‘rumah’ baru awak. Walaupun kita berbeza alam, tapi saya tahu awak bahagia saya datang jumpa awak.
"Takdir tak mengizinkan kita jumpa secara fizikal tapi saya tahu awak dengar apa yang saya cerita dan luahkan,” katanya mengakhiri sebuah kisah yang menyentuh hati ramai orang.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
