MEMANG tak masuk akal! Hanya kerana dendam dengan mulut jahat jiran, seorang lelaki tergamak bunuh anak kecil yang tak berdosa.
Lapor Detik Kalimantan, pada awalnya Rafa Fauzan yang berusia setahun 11 bulan dilaporkan hilang di rumah pengasuhnya di Singkawang Tengah, Kalimantan, Indonesia.
Rupa-rupanya si kecil itu dilarikan seorang lelaki dikenali sebagai Uray Abadi yang juga jiran kepada pengasuh Rafa dan dibawa pulang ke rumahnya.
Lokasi rumah suspek tak jauh pun dari kediaman pengasuh yang dikenali dengan nama Shellsi tapi apa yang berlaku selepas itu memang mengerikan.
Menurut laporan polis, Rafa yang masih hidup ketika itu disumbat ke dalam guni dan kemudiannya dibawa menaiki basikal ke kawasan tanah kubur berhampiran masjid.
Suspek dikatakan tinggalkan guni tersebut di beranda masjid dan kemudian mengambil semula pada waktu malam.
Tanpa rasa bersalah, suspek kemudian buang guni tersebut di kawasan semak dan meninggalkan tempat kejadian.
Nak dijadikan cerita, lelaki tersebut sempat kembali ke tempat kejadian untuk melihat keadaan Rafa, namun semuanya sudah terlambat.
Si kecil itu sudah tak bernyawa. Panik dengan kejadian itu, suspek kemudian letak guni berisi mayat mangsa di pintu masjid.
Sentap motif pembunuhan
Uray yang diberkas pihak polis mengaku bersalah dan motif penculikan serta pembunuhan itu gara-gara tersinggung dengan kata-kata pengasuh mangsa.
Ini kerana kata suspek, jika berlaku sesuatu kepada Rafa, ibu bapanya akan menyalahkan pengasuh dan apa yang dia buat sebagai ‘pengajaran’.
Sebelum ini, SinarPlus melaporkan kehilangan seorang kanak-kanak lelaki yang dikenali sebagai Rafa Fauzan ketika berada di bawah pengawasan pengasuhnya pada Selasa.
Operasi mencari kanak-kanak berusia satu tahun akhirnya menemui noktah apabila mangsa ditemui tidak bernyawa di hadapan pintu sebuah masjid pada pagi Jumaat.
Difahamkan, ketika kejadian, pengasuh yang dikenali sebagai Shellsi masuk ke dalam bilik buat seketika, manakala Rafa ketika itu berada di dapur.
Tidak lama selepas Shellsi keluar dari bilik, dia menyedari Rafa tidak lagi berada di dapur, manakala pintu belakang rumah pula didapati terbuka luas.
Kehilangan Rafa turut mencuri perhatian orang ramai, termasuk penduduk setempat yang segera berganding bahu menghulurkan bantuan dalam usaha mencarinya.