Tak bagi pinjam duit, kawan dibunuh, dicincang & disimen dalam bilik mandi

Iklan

MEMANG sadis! Hanya kerana bergaduh mulut kerana mahu pinjam duit, seorang lelaki dibunuh dengan kejam oleh kawannya sendiri.

Lebih menakutkan, mayat mangsa dikerat-kerat menggunakan gergaji sebelum dicampak ke dalam kolah di bilik mandi dan disimen rapi.

Iklan
Iklan

Lagi tak masuk akal, bukan saja setakat bunuh dan cincang mayat, suspek juga sanggup hiris daging kaki mangsa, goreng dan makan! Ya, dia makan daging kawan sendiri!

Lapor Tribun Medan, pembunuhan kejam itu menggemparkan penduduk Bukit Ransam, Kampung Sungai Nipah, Kecamatan IV Jurai, Sumatera Barat, Indonesia.

Iklan

Mangsa dikenali Periwisata berusia 32 tahun dan berasal dari Surantiah, Pesisiran Selatan itu pada awalnya difahamkan mahu keluar merantau.

Iklan

Sebelum kejadian tragik berlaku, mangsa sempat memberitahu keluarganya yang dia mahu berhijrah dan sebelum bertolak, sempat jumpa kawan di sebuah kafe.

Nak dijadikan cerita, lelaki itu berjumpa dengan kawannya yang dikenali dengan Bobi yang bekerja di kafe tersebut untuk meminjam duit Rp400,000 (lebih kurang RM103).

Namun, segala-galanya berubah sekelip mata. Akibat suspek enggan memberi duit, mereka gaduh besar sehingga Bobi hilang kawalan.

Dalam laporan polis, Bobi dalam keadaan marah memukul kepala Periwisata dengan batang kayu dan menyebabkan mangsa rebah sebelum meninggal dunia.

Tak cukup dengan itu, Bobi menyembelih leher mangsa menggunakan parang dan mengerat tubuh kepada beberapa bahagian menggunakan gergaji.

Alasan suspek memotong badan kecil-kecil supaya muat dimasukkan dalam kolah mandi sebelum dituang simen untuk menghilangkan bukti.

Pun begitu, kehilangan mangsa mula menimbulkan tanda tanya dalam kalangan ahli keluarganya apabila dia gagal dihubungi sejak Mac lalu.

Lebih bertambah buntu apabila rakan-rakan mangsa di Riau dan Jawa juga tidak tahu di mana keberadaannya sehinggalah berita penemuan rangka manusia.

Jumpa tengkorak

Barangkali itulah petunjuk daripada ALLAH dan hasil daripada doa berterusan keluarga mangsa.

Rangka yang akhirnya dikenal pasti sebagai Periwisata ditemui secara tidak sengaja oleh pekerja projek ubah suai di rumah bekas sarang burung walet.

Bangunan tersebut terletak di belakang kafe yang menjadi lokasi kejadian pembunuhan.

Pekerja renovate bangunan itu terkejut besar bila terjumpa tengkorak manusia di dalam bilik mandi termasuk bahagian lain yang dipotong-potong.

Siasatan pihak polis membawa kepada penahanan Bobi yang rupa-rupanya pekerja di kafe berhampiran bangunan tersebut yang mana menjadi tempat mangsa dijumpai.

“Selepas tengkorak ditemui, kita terus ke lokasi dan jalankan siasatan. Saksi serta bukti yang diperoleh menunjukkan pelaku ialah Bobi,” jelas pihak polis.

Sekadar nak cuba daging manusia

Apa yang mengejutkan, Bobi mengaku makan daging kawannya tanpa rasa bersalah selepas membunuh mangsa.

Lebih meremang bulu roma, Bobi langsung tiada alasan kukuh untuk melakukan perbuatan menjijikkan itu.

Katanya kepada polis, dia sekadar mahu cuba rasa daging manusia.

Bobi mengaku memotong serpihan daging dari bahagian kaki mangsa, kemudian mengirisnya kecil-kecil dan menggorengnya bersama bahan perasa sebelum dimakan.

“Tak ada tujuan tertentu. Dia cuma nak cuba rasa daging manusia,” kata Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Polres Pesisir Selatan, AKP M Yogie Biantoro.

Perkara itu terbongkar ketika polis menjalankan rekonstruksi penuh kes pembunuhan ngeri yang berlaku di Bukit Ransam tersebut.