BUKAN semua orang mampu berdiri semula selepas dihentam, dikecam dan dijatuhkan.
Selama hampir tiga dekad, dia bertahan dalam dunia yang sering menguji prinsip dan ketahanan emosi.
Dalam diam, pemilik nama penuh, Rita Rudaini Mohammad Mokhtar itu membesarkan dua anak lelaki, Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna sebagai ibu tunggal, sambil terus berkarya tanpa tunduk pada desakan populariti murahan atau drama murahan. Hari ini, perjuangannya dibalas dengan penuh bermaruah, dengan pengiktirafan rasmi dari istana.
Rita Rudaini, 49, menerima Pingat Jasa Baik (PJB) sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-82 DYMM Tuanku Raja Perlis.
Bukan hanya sebagai pelakon, tetapi sebagai seorang wanita yang tidak pernah berhenti percaya pada nilai keikhlasan dan kerja keras.
Majlis penuh adat istiadat itu berlangsung megah di Istana Arau dan Rita tampil anggun menerima pengiktirafan tersebut sebagai penghormatan atas sumbangan besarnya dalam bidang seni dan usaha murninya dalam kegiatan kemasyarakatan.
Sebagai pelakon yang telah mengabdikan diri lebih 28 tahun dalam dunia lakonan, nama anak jati Perlis itu tidak pernah pudar meskipun dihimpit pelbagai kontroversi dan ujian kehidupan.
Namun yang membezakan finalis Dewi Remaja 98/99 tersebut dengan yang lain adalah bagaimana dia memilih untuk bangkit, bukan sekali, tetapi berkali-kali, dengan elegan dan penuh integriti.
“Saya amat bersyukur kepada ALLAH SWT dan berterima kasih kepada Tuanku Raja Perlis atas penganugerahan ini. Ia bukan hanya untuk saya, tapi juga anak-anak dan semua yang sentiasa berdiri di belakang saya sejak dulu,” ujar pemenang Aktres Pembantu TV Popular 2024 itu dengan penuh rasa rendah diri.
Tidak menumpang sensasi
Baginya, penganugerahan ini bukan sekadar simbol kejayaan peribadi, tetapi bukti bahawa usaha yang dilakukan dengan keikhlasan akan sentiasa dihargai, walaupun mengambil masa. Ia juga menjadi pembakar semangat untuk beliau terus berkarya tanpa mengabaikan nilai seni dan maruah sebagai anak seni.
“Saya percaya, bila kita jujur dalam berkarya dan tidak menumpang sensasi, lambat laun rezeki itu tetap datang. Pengiktirafan ini juga saya harap dapat memberi inspirasi kepada anak seni lain agar terus berkarya dengan dedikasi, menjaga integriti dan tidak mudah menyerah pada tekanan industri,” tambahnya.
Sebagai seorang ibu tunggal, Rita membuktikan bahawa status itu bukan halangan untuk berjaya. Malah, ia menjadi pendorong untuknya lebih gigih mengejar impian dan dalam masa sama menjadi contoh kepada generasi muda, bahawa wanita boleh berdikari, berdiri sendiri dan dihormati bukan kerana kisah sensasi, tetapi kerana prinsip dan kejujuran dalam hidup.
Rita turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Perlis, khususnya Exco yang terbabit dalam pemilihan penerima anugerah.
“Insya-ALLAH, selepas ini akan ada banyak lagi aktiviti bersama mereka. Saya juga berterima kasih kepada penerbit, pengarah dan rakan-rakan industri yang masih menghargai bakat saya, serta media dan peminat yang tidak pernah berhenti menyokong saya, dari awal hingga ke hari ini," ujarnya lagi.
Penganugerahan yang sama turut diberikan kepada beberapa tokoh lain dari pelbagai latar bidang, namun kehadiran Rita menyerlahkan warna berbeza dalam senarai penerima.
Ia bukan sahaja tentang glamor atau populariti, tetapi tentang perjalanan panjang seorang wanita yang terus utuh berdiri, walau dilambung ombak, walau diuji badai.
Rita Rudaini bukan sekadar nama. Dia adalah bukti bahawa anak seni yang berprinsip, ibu yang berdikari, dan wanita yang percaya pada rezeki Tuhan, akan tetap bersinar, biar pun tidak menumpang kilauan orang lain.