PASANGAN jutawan popular, SM Faliq Nasimuddin dan Chryseis Tan baru-baru ini mencuri perhatian apabila berkongsi berita gembira mereka bakal menimang cahaya mata ketiga.
Khabar tersebut diumumkan sendiri oleh Chryseis menerusi satu hantaran di Instagram yang cukup manis dan penuh kejutan.
Manakan tidaknya, berita tersebut dikongsikan bersempena ulang tahun kelahiran suaminya yang ke-40.
Dalam video yang dimuat naik, wanita jelita itu menghadiahkan sebuah kit ujian kehamilan sebagai kejutan istimewa.
Cara pengumuman itu bukan sahaja kreatif, malah cukup menyentuh hati.
Momen berharga itu nyata mengundang pelbagai reaksi di ruangan komen, dengan rakan selebriti serta para pengikut media sosial membanjiri ucapan tahniah dan doa agar semuanya berjalan lancar buat ibu dan bayi.
Bukan itu sahaja, ada juga yang teruja menantikan gaya #OOTD Chryseis sepanjang tempoh kehamilan kali ini.
WEDDING OF THE YEAR
Umum sedia maklum, beliau memang terkenal dengan cita rasa fesyen yang elegan dan sentiasa tampil bergaya walaupun ketika sedang berbadan dua.
Untuk rekod, Chryseis Tan yang juga anak kepada ahli perniagaan tersohor Tan Sri Vincent Tan telah mendirikan rumah tangga dengan pewaris Naza Group, SM Faliq Nasimuddin pada 4 Februari 2018.
Majlis perkahwinan mereka ketika itu diadakan secara mewah di The Chateau, Bukit Tinggi, Pahang dan menjadi antara wedding of the year yang diperkatakan ramai.
Hasil perkahwinan tersebut, pasangan berkenaan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Arianna Kayla dan SM Arman Naza. Kini, keluarga kecil mereka bakal berkembang lagi dengan kehadiran si comel yang ketiga.
Pastinya ramai tidak sabar untuk melihat detik-detik bahagia seterusnya daripada pasangan glamor ini.
Tahniah buat Chryseis dan Faliq! Semoga segala urusan dipermudahkan, dan bayi yang bakal lahir nanti membesar dalam kasih sayang serta suasana penuh inspirasi, seperti kedua-dua ibu bapanya.