APA sebenarnya yang berlaku pada Fabiola Alejandra Caicedo Piña, gadis TikTokers yang dikenali sebagai ‘China Baby’ yang menjadi viral di media sosial seluruh dunia.
Remaja berusia 18 tahun itu menjadi perhatian ramai selepas mayatnya ditemui dalam keadaan sangat menyayat hati.
Mana tidaknya, tubuhnya dikerat dan disumbat dalam sebuah beg, sebelum dijumpai berhampiran loji rawatan air di daerah El Agustino, Peru.
Identitinya dikenal pasti oleh pihak berkuasa berdasarkan tatu unik di tubuhnya selepas beberapa hari dilaporkan hilang pada 7 Jun lalu.
Video terakhir Fabiola di TikTok dimuat naik dua hari sebelum itu tanpa siapa pun menyangka itu akan jadi ‘ucapan selamat tinggal’ terakhirnya.
Lapor New York Post, hasil siasatan awal pihak polis percaya Fabiola mungkin telah dicekik sebelum mayatnya dikerat.
Kini siasatan diteruskan sama ada mempunyai kaitan dengan individu rapat atau keluarga bekas teman lelakinya, Mayner Yoffrey Giménez Castrillo.
Jika diikutkan fakta kes, Fabiola yang berasal dari Barquisimeto, Venezuela itu berhijrah ke Peru pada 2022 bersama Mayner, teman lelakinya ketika itu yang berusia 21 tahun.
Mereka kemudia menyewa sebuah flat di daerah Huaycán tapi beberapa bulan kemudian, Mayner ditemui mati.
Kes itu diklasifikasikan sebagai bunuh diri, namun keluarganya percaya ada udang di sebalik batu dan menuding jari kepada Fabiola.
Barangkali famili lelaki itu berang bila wanita berkenaan tidak pernah disiasat secara rasmi.
Lebih misteri, ada laporan mendakwa kawasan tempat Fabiola bekerja dikawal oleh kumpulan mafia dan pernah menerima ugutan untuk ‘membayar harga’ atas kematian Mayner.
Malam sebelum tragedi, Fabiola dikatakan telah diusir dari satu parti dengan alasan yang mencurigakan.
Malah ada dakwaan yang mana wanita itu diseksa terlebih dahulu dengan kesan lecur akibat dicucuh rokok pada kaki.
Sebelum dibunuh dan dibuang ke Sungai Rímac yang mana akhirnya membawa mayatnya ke loji air tersebut.
Buat masa ini, polis sedang meneliti rakaman CCTV dan mengumpul keterangan daripada rakan-rakan dan individu yang mengenali mangsa.
Walaupun tiada tangkapan dibuat setakat ini, media tempatan melaporkan bahawa kemajuan penting dalam siasatan dijangka dalam masa terdekat.