KECOH di media sosial pada Ahad lalu apabila sekumpulan penunggang basikal muat naik video mengatakan bahawa pemandu bas cuba menghimpit mereka secara sengaja.
Rentetan insiden ini, personaliti media sosial, Nik Muhammad Ryzal Nik Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Ryzal Ibrahim, membuat keputusan membatalkan niat untuk memiliki dan menunggang basikal di jalan raya.
Menurut InstaStory suami kepada Maryam Younarae, keputusan itu diambil atas sebab mahu mengelakkan diri daripada terlibat dalam pergaduhan dengan pengguna jalan raya seperti mana yang berlaku di dalam video viral tersebut.
Ryzal juga berkata, berbasikal di jalan raya di negara ini, realitinya tak semudah itu. Jika terjadi kemalangan, undang-undang dalam kebanyakan kes akan memihak kepada kenderaan bermotor bukan pada penunggang basikal.
Ditambah pula dengan sikap pemandu lain yang mungkin kurang toleransi membuatkan risiko bergaduh atau konflik semakin tinggi.
Disebabkan itu, jika anda perasan, rata-rata di setiap jalan raya ada papan tanda mengatakan ‘menunggang basikal di atas jalan raya merbahaya.’
Ryzal mengakui, dia telah memulangkan semula basikal yang hampir dibelinya kerana tak sanggup nak lalui semua risiko ini.
Undang‑undang dan etika: Apa yang penunggang basikal perlu tahu?
Penunggang basikal sebenarnya tertakluk kepada beberapa undang‑undang yang telah ditetapkan:
• Lampu depan dan belakang wajib ada di antara waktu senja hingga subuh, di bawah Road Traffic Rules. Kegagalan melakukan sedemikian, boleh didenda RM2,000 atau penjara 6 bulan.
• Brek efisien dan loceng juga diwajibkan.
• Berbasikal secara selorong terutama bagi mereka yang melakukan aktiviti ini semasa di dalam kumpulan.
• Larangan menggunakan laluan pejalan kaki.
• Larangan memegang objek semasa menunggang basikal. Contohnya memegang telefon bimbit atau kamera untuk merakam aksi mereka.
Tidak semua lebuh raya dan jalan raya biasa membenarkan aktiviti sebegini dilakukan kerana memikirkan keselamatan penunggang basikal itu sendiri dan juga pengguna jalan raya yang lain.