Aidilfitri sering dikaitkan dengan tradisi pulang ke kampung, meja makan yang penuh juadah dan pelukan ahli keluarga yang lama dirindui.
Namun bagi sesetengah individu, terutama anak seni yang sentiasa terikat dengan jadual kerja, peluang meraikan Syawal bersama keluarga bukanlah sesuatu yang datang setiap tahun.
Itulah yang menjadikan Syawal kali ini cukup istimewa buat penyanyi dangdut sensasi, Baby Shima.
Selepas beberapa musim perayaan dihabiskan di luar negara atas tuntutan kerjaya, Shima akhirnya memilih untuk kembali menyambut lebaran di tanah air sendiri.
Keputusan itu bukan dibuat secara kebetulan, sebaliknya lahir daripada rasa rindu terhadap suasana raya yang lebih sederhana tetapi penuh makna.
“Tahun lepas di sana, tetapi tahun ini saya memilih untuk sambut di tanah air sendiri,” katanya sambil tersenyum ketika ditemui SinarPlus pada majlis bufet Ramadan bertemakan Serantau Desa, Cita Rasa Mendunia.
Menurut Shima, sebelum ini Aidilfitri sering diisi dengan komitmen seni termasuk persembahan pentas dan rakaman. Malah ada ketika, hari pertama Syawal pun berlalu di lokasi kerja. Namun tahun ini, dia nekad menyusun jadual lebih awal demi memberi ruang kepada keluarga.
“Alhamdulillah setakat ini famili faham dengan kerja saya. Lagipun beraya bersama keluarga itu lain rasanya,” ujarnya.
Sebagai anak kelahiran Johor, suasana pagi raya yang sederhana sudah cukup membahagiakan dirinya.
Dengan hampir 20 orang anak buah yang semakin membesar saban tahun, rumah keluarga pasti bertukar riuh dengan gelak tawa kanak-kanak berlari ke sana sini.
Bagi Shima, kemeriahan itu bukan tentang kemewahan persiapan atau busana baharu semata-mata, tetapi momen berkumpul, bermaaf-maafan dan menikmati kebersamaan yang jarang diperoleh sepanjang tahun.
Dalam masa sama, kepulangannya ke Malaysia tahun ini turut berkait rapat dengan perkembangan kerjayanya.
Penyanyi yang dikenali dengan gaya berani dan energinya di pentas itu kini sedang sibuk dengan beberapa projek rakaman baharu di Malaysia dan Indonesia.
Katanya, tahun 2026 bakal menjadi fasa baharu dalam perjalanan seninya apabila dia mahu memberi lebih fokus kepada karya yang membawa mesej lebih jelas dan mudah difahami pendengar.
“Bukan sekadar nak produktif, tapi saya nak orang faham apa yang saya sampaikan melalui lagu,” katanya penuh teruja.
Dalam suasana Ramadan yang lebih tenang, Shima turut membuka cerita mengenai kontroversi lirik lagu Masuk Lagi yang sebelum ini didakwa mempunyai unsur lucah.
Selepas sekian lama memilih untuk berdiam diri, penyanyi yang nama sebenarnya Nor Ashima Ramli itu akhirnya menjelaskan situasi sebenar.
“Saya bukan melarikan diri daripada isu ini. Saya cuma memilih untuk diam ketika perkara itu hangat diperkatakan supaya keadaan tidak jadi lebih keruh,” jelasnya.
Menurutnya, ketika isu tersebut memuncak, Ramadan hampir tiba dan dia tidak mahu keadaan menjadi semakin tegang sekiranya memberi reaksi balas pada waktu itu.
Tambah Shima lagi, dakwaan kononnya lagu tersebut mempunyai maksud ‘double meaning’ sebenarnya timbul akibat salah faham.
“Memang tak ada unsur ‘double meaning’. Maksud lagu itu jelas dalam muzik video. Orang kena tengok dulu, baru faham,” katanya.
Pengalaman berdepan kontroversi bagaimanapun memberi pengajaran besar buat dirinya. Kini, dia lebih berhati-hati dalam pemilihan lirik agar mesej yang disampaikan lebih terus dan mudah difahami.
“Sebab itu 2026 ini kita bagi lirik yang ‘direct’. Ada sesetengah orang lambat ‘pick up’, jadi kita mudahkan,” ujarnya bersahaja.
Bercakap soal kecaman pula, Shima mengakui fasa awal menerima komen negatif bukan sesuatu yang mudah dilalui. Namun masa dan pengalaman menjadikan dirinya lebih matang dalam mengendalikan tekanan sebagai figura awam.
Baru-baru ini, kehadirannya di sebuah bazar Ramadan untuk membantu mempromosikan perniagaan kecil turut disalah tafsir segelintir pihak. Ada yang mendakwa dia mengganggu peniaga, sedangkan niat sebenar hanyalah untuk membantu menarik pelanggan.
“Ada yang kata saya mengganggu perniagaan orang. Padahal masa itu saya tolong beli air dan tarik orang datang. Famili peniaga itu sendiri ucap terima kasih sebab jualan mereka sebelum itu agak perlahan,” ceritanya.
Kini, Shima memilih untuk melihat kecaman dari sudut lebih positif. Baginya, menjadi individu dikenali ramai bermakna setiap tindakan pasti diperhatikan.
“Dulu memang stres, rasa down. Sekarang alhamdulillah dah kebal. Kalau boleh tak payah baca komen,” katanya sambil ketawa kecil.
Sepanjang Ramadan ini juga, Shima terlibat dalam persembahan bufet Ramadan Serantau Desa, Cita Rasa Mendunia bersama artis lain seperti Datin Alyah, Adam AF dan Zaki Yamani. Gabungan hidangan autentik Malaysia, Thailand dan Indonesia serta persembahan artis jemputan menjadikan pengalaman berbuka puasa lebih meriah dan berwarna.
Bagi Shima, Ramadan dan Syawal kali ini membawa makna yang lebih mendalam. Bukan sahaja kerana dapat kembali berpuasa dan beraya di Malaysia, tetapi juga kerana dirinya kini berada pada fasa lebih matang, dalam berkarya, mengendalikan persepsi umum dan menghargai insan terdekat.
“Orang nak cakap apa, cakaplah. Kita buat kerja kita. Yang penting niat kita baik.
“Kalau dulu memang rasa stres juga, tapi sekarang saya rasa lebih kuat. Sudah lebih setahun saya belajar jadi lebih kebal,” ujarnya menutup bicara.