DALAM dunia serba moden hari ini, sukar sebenarnya nak jumpa remaja yang matang cara fikir dan tahu menghargai penat lelah ibu bapa.
Namun, berbeza ceritanya dengan Ammar Ahyan, anak sulung kepada pasangan usahawan terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri dan Datin Seri Shahida.
Walaupun baharu menginjak ke usia 17 tahun, sikap rendah diri dan keikhlasan Ammar telah membuka mata ramai, termasuk pengacara dan penyampai radio, Nabil Ahmad.
Dalam satu perkongsian video di TikTok, Nabil meluahkan rasa terharu apabila Ammar secara spontan berkongsi impiannya untuk membalas jasa kedua orang tuanya.
Bukan dengan benda mewah, tetapi cukup dengan satu niat yang ikhlas iaitu mahu membawa ibu bapa bercuti menggunakan duit hasil titik peluh sendiri.
“Saya tanya dia nak bawa ke mana. Ingatkan luar negara. Tapi Ammar jawab, ‘Saya nak bawa ke Langkawi dulu’. Masya-ALLAH... maknanya dia nak guna duit dia sendiri dulu. Bila ada lebih, baru plan luar negara. Matang betul dia fikir,” kongsi Nabil.
Apa yang membuatkan penyampai radio Era FM itu lebih kagum adalah cara didikan yang diterapkan oleh Aliff dan Shahida terhadap anak-anak.
Walaupun ramai netizen sering tersilap sangka dengan gaya hidup selebriti pasangan itu, rupanya pendekatan keibubapaan mereka cukup luar biasa dan patut dicontohi.
“Kita selalu tengok mereka macam ‘huha-huha’ dekat media sosial, tapi bila duduk sembang dan kenal, subhanallah... lain betul. Rasa hormat tu datang sendiri. Cara didik Ammar memang luar biasa,” katanya menerusi video dalam TikTok.
BERJIWA BESAR
Tambah pengacara Gegar Vaganza itu lagi, pertemuan dengan abang kepada lima adik itu sedikit sebanyak memberi semangat baru kepadanya sebagai seorang bapa.
“Ammar ni budak bijak dan sangat baik. Saya pun ada anak lelaki, bila tengok Ammar, saya rasa terinspirasi. Seronok jumpa orang muda yang buka minda kita macam ni,” katanya.
Sekadar info, Ammar Ahyan ialah anak pertama daripada enam beradik hasil perkahwinan Aliff dan Shahida. Kini, remaja itu semakin aktif di media sosial, khususnya dalam siaran langsung menjual produk keluaran keluarganya.
Gaya penyampaiannya yang tersendiri, penuh tertib dan berhemah menarik perhatian ramai netizen yang menyifatkannya sebagai ‘berjiwa besar’, jauh berbeza daripada tipikal remaja seusianya.
Ramai juga memuji cara Ammar membawa diri, mesra kamera dan tidak sombong walaupun lahir dalam keluarga usahawan ternama. Malah, sikapnya yang matang dalam berbicara cukup dikagumi ramai.
Jika diteliti, kisah Ammar sebenarnya wajar dijadikan inspirasi kepada generasi muda.
Usia masih belasan tahun, tapi sudah pandai berdikari, tahu menghargai keluarga dan bekerja keras untuk bantu perniagaan ibu bapa.
Dalam dunia yang penuh ‘content viral’ dan hidup penuh gaya, dia tampil sebagai remaja yang membuktikan bahawa rendah diri itu masih relevan, dan didikan yang betul mampu membentuk peribadi unggul.
Sumber Asal: Kosmo Online