‘Nenel 'tiket' saya ke syurga’ – Bella Park kongsi kisah hidup sebagai isteri PJJ, ibu anak istimewa & usahawan

Iklan

JIKA sebut nama Nurul Nabila Zolkepli , mungkin ada yang tertanya-tanya siapakah gerangannya? 

Itulah nama sebenar wanita yang cukup mesra disapa Bella Park. Tuan punya badan sememangnya tidak asing dalam dunia media sosial dan keusahawanan. 

Iklan
Iklan

Celotehnya yang bersahaja ditambah dengan loghat utaranya yang pekat, membuatkan dirinya yang mudah mesra itu cukup ‘dekat’ dengan pengikutnya. 

Bukan itu sahaja, Bella juga berjaya membina empayar kosmetik sendiri yang kini sudah mencecah usia lima tahun. 

Iklan

Semuanya bermula ketika pandemik melanda. Demi kelangsungan hidup, wanita berumur 30 tahun itu mengambil keputusan untuk berniaga dan siapa sangka minat dalam dunia kecantikan bertukar menjadi laluan utama untuk mencapai misi hidupnya untuk membantu keluarga serta orang sekeliling. 

Iklan

Anak kelahiran Jelapang Padi itu baru-baru ini menjadi pilihan SinarPlus sebagai penghias muka hadapan berikutan kejayaannya dalam bidang perniagaan serta aktif sebagai pempengaruh media sosial. 

Ketahui bagaimana wanita berketinggian 159 sentimeter itu menggarap kisah tersendiri, sebagai isteri, ibu kepada seorang cahaya mata istimewa dan juga usahawan wanita yang kian meningkat nama menerusi perkongsian bersama Sinar Plus baru-baru ini.

Di sebalik senyuman manis dan sikap ceria Bella Park, tersimpan kisah kehidupan yang tak semua orang tahu. 

Bukan calang-calang wanita, Bella memikul pelbagai peranan dalam hidupnya. Sebagai usahawan, anak, isteri dan ibu yang menjadi tonggak keluarga, justeru semua digalas penuh tabah. 

Segalanya bermula ketika pandemik. Ketika ramai yang hilang punca pendapatan, Bella nekad mencipta jalan keluar. Minat terhadap kecantikan ditukar menjadi kekuatan untuk bertahan. 

“Saya mula bisnes kosmetik masa COVID-19. Masa tu susah sangat. Tapi saya tahu, kalau nak ubah hidup, kena berani mulakan langkah,” ujarnya dalam awal bicara bersama penulis. 

Lima tahun berlalu dan wanita cantik manis itu mengemudi jenama kosmetik yang dikenali ramai. Baginya, kualiti adalah nadi perniagaan. 

Bermula di Facebook, Bella kini aktif di TikTok. Dia percaya, untuk kekal relevan, seseorang usahawan perlu turun padang dan memahami kehendak pembeli. 

“Kalau nak pelanggan percaya, kualiti kena jaga. Itu nombor satu bagi saya. 

“Tapi bisnes bagi saya bukan hanya soal jualan semata-mata. Ia tentang membina hubungan. Tentang penjenamaan diri dan keikhlasan dalam mendekati pelanggan. 

“Saya tak nak bisnes jalan sendiri. Saya nak dekat dengan pembeli, cipta hubungan, buat mereka rasa dihargai. Itu yang buat jenama kita kekal,” ungkapnya penuh yakin. 

ANAK ISTIMEWA

Namun, kejayaan bukan datang bergolek. Pernah satu ketika, orang kepercayaannya sendiri mengkhianati kepercayaan. 

“Tak sangka. Saya dah anggap macam orang kanan, tapi dia khianat. Saya reda dan mengambil nya sebagai pengajaran,” jelasnya yang enggan berbicara lanjut tentang isu itu. 

Kata Bella, dia tidak suka membiarkan diri terbenam lama dalam 'kolam' kekecewaan. 

“Saya enggan membiarkan diri larut dengan kesedihan. Sebab itu, jika ada masalah atau down, saya cepat-cepat selesaikan. 

“Pada saya, positif adalah terapi paling mujarab,” kongsinya lagi. 

Dibesarkan dalam keluarga berpecah, hidup dalam serba kekurangan dan menjaga abang OKU (Orang Kurang Upaya), menjadikan Bella lebih matang sebelum usia. Semua pengalaman itu membentuk jati dirinya. 

“Saya dah biasa diuji sejak kecil. Saya anggap semua tu hadiah daripada ALLAH. 

“Lepas kehilangan abang, tanggungjawab sebagai anak sulung digalas sepenuhnya oleh saya. 

“Namun kesibukan sebagai tulang belakang keluarga, saya tetap tak lupa peranan sebagai ibu kepada seorang anak istimewa,” jelasnya. 

Bagi Bella, kehadiran Muhammad Danial Nazran atau lebih dikenali sebagai Nenel, satu anugerah yang cukup indah dalam hidupnya. 

“Nenel ada masalah otot dan emosi dia pun sensitif. Dia perlukan perhatian yang penuh. Pun begitu saya tidak pernah anggap anak saya sebagai beban. 

“Arwah abah selalu cakap, Nenel ini ibarat hadiah dan 'tiket' ke syurga dari ALLAH untuk ajar saya jadi lebih tabah dan kuat,” ulas anak kedua daripada 10 beradik itu lagi. 

Tambah wanita yang cukup murah dengan senyuman itu, setiap pengorbanan yang dibuat bukan kerana tanggungjawab semata-mata, tapi lahir daripada cinta dan hatinya yang tulus. 

“Walaupun banyak kekurangan sebagai ibu, tapi saya cuba buat yang terbaik. Nenel kena tahu, saya besarkan dia dengan penuh kasih sayang walaupun terpaksa hadap segalanya sendirian,” ujar Bella dengan nada sebak. 

Menyentuh tentang komen negatif dari netizen, pempengaruh media sosial itu tidak menafikan ada kalanya ia menggugat emosi. Tapi Bella memilih untuk tidak larut dengan situasi itu. 

“Saya tak suka simpan benda negatif. Tapi kalau agak melampau, saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan. 

“Lagipun, hidup ini penuh ujian. Kalau tak diuji, itu bukan hidup namanya, kan?” kata Bella lagi. 

Bella juga percaya, dirinya dicipta sebagai wanita kerana Tuhan tahu dia mampu bersabar dengan segala ujian. 

“Dulu susah, sekarang ALLAH bagi rezeki lain. Semua tu proses untuk saya menjadi umat-NYA yang lebih baik,” ujarnya lagi. 

HUBUNGAN JARAK JAUH

Beralih perbualan kepada hal rumah tangga yang baharu dibinanya, rupa-rupanya cerita cinta Bella dan suaminya, Haikal Anuar bukan biasa-biasa. 

Enam bulan berkahwin, tapi mereka terpaksa menjalani perhubungan jarak jauh (PJJ). Namun, kasih sayang tetap hangat dan penuh kebahagiaan. 

“Haikal memang kelakar, suka buat orang gelak. Tapi dalam kerja sebagai tentera, dia sangat tegas. 

“Mungkin orang nampak saya garang, padahal Haikal lebih tegas,” ujarnya berseloroh tatkala ditanya mengenai karakter suami kesayangannya itu. 

Hari ini, pasangan tersebut bakal menunaikan umrah pertama bersama. Perjalanan itu sangat bermakna buat Bella. 

“Saya pernah janji nak bawa arwah abah ke Makkah, tapi tak kesampaian. Kali ini, saya anggap umrah ni hadiah dari arwah. Saya percaya abah bahagia kerana akhirnya saya bakal ke Tanah Suci,” ujar Bella sebak. 

Sebelum menutup bicara, Bella berkongsi impiannya yang mahu terus menyumbang kepada komuniti, terutamanya kaum wanita. 

“Saya nak lebih ramai wanita yakin dengan diri sendiri. Kalau saya boleh buat, mereka pun boleh. Saya masih belajar, tapi saya nak bantu orang lain untuk berjaya sama-sama,” ungkapnya penuh makna.