DILAHIRKAN dalam keluarga sederhana dan dibesarkan oleh seorang ibu tunggal yang bekerja menoreh getah dan kini di ladang kelapa sawit, Roziana Tan Beng Hai bukan sekadar mencatat keputusan cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), malah turut menerima tawaran melanjutkan pengajian di Universiti Manchester, United Kingdom.
Yang lebih menyentuh hati, kejayaan ini bukan untuk bermegah, sebaliknya demi membuktikan kepada insan paling berjasa bahawa segala pengorbanannya tidak sia-sia.
“Saya perlu bagi ibu sesuatu supaya dia tahu yang membesarkan saya bukan satu perkara yang sia-sia,” itu antara luahan jujur Roziana yang bakal melanjutkan pengajian dalam bidang Ekonomi dan Pengajian Sosial di Universiti Manchester, United Kingdom.
Anak bongsu daripada dua beradik itu bukan calang-calang pelajar. Dia memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 dan kini sedang menunggu keputusan permohonan biasiswa daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bagi membolehkan impian menyambung pengajian di luar negara menjadi kenyataan.
Menurut Roziana, permohonan ke universiti tersebut dilakukan melalui sistem UCAS selepas mengetahui peluang tersebut menerusi platform TikTok.
Memetik Sinar Harian, pelajar tersebut juga menerima dua tawaran iaitu dalam bidang Ekonomi dan Pengajian Sosial serta Perhubungan Antarabangsa.
Namun, gadis berusia 20 tahun itu membuat keputusan untuk memilih bidang ekonomi yang lebih dekat dengan minatnya.
“Saya sedang menunggu keputusan biasiswa dan juga akan menduduki ujian kelayakan IELTS untuk melengkapkan semua syarat tawaran universiti,” katanya.
Dia berkata demikian, ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Murid Cemerlang (AMC) JAKOA bagi calon SPM dan STPM 2024 yang berlangsung di sebuah hotel di ibu negara baru-baru ini.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JAKOA, Mohd Zamri Mustajap.
Bagi Roziana, kejayaan ini bukan hanya untuk diri sendiri tetapi sebagai hadiah kepada ibunya, Rohani Wambuan, 56, yang membesarkannya seorang diri sejak kecil.
IBU SUMBER KEKUATAN
Ibunya yang dahulunya menoreh getah dan kini bekerja di ladang kelapa sawit, menjadi sumber kekuatan utama dalam hidupnya.
“Saya nak balas jasa mak. Walaupun hidup kami susah, mak tak pernah abaikan pendidikan saya dan abang. Jadi bila saya dapat keputusan cemerlang, saya tahu ini satu cara untuk saya balas pengorbanan dia,” luahnya sebak.
Dalam masa sama, Roziana turut menyeru pelajar Orang Asli khususnya daripada kaum Jakun agar berani ke hadapan dan menunjukkan kemampuan masing-masing. Katanya, mereka tidak seharusnya merasa rendah diri, sebaliknya harus yakin dengan potensi diri.
“Jangan malu. Kalau tak tahu, tanya. Kalau ada peluang, rebut. Kita juga boleh berjaya seperti orang lain,” katanya penuh semangat.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah JAKOA, Mohd Zamri Mustajap berkata, seramai 149 pelajar Orang Asli berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM dan STPM 2024, iaitu melibatkan 116 pelajar SPM dan 33 pelajar STPM.
Menurutnya, kejayaan itu membuktikan semakin ramai pelajar Orang Asli berjaya bersaing dalam bidang pendidikan dan berpotensi menjadi agen perubahan dalam komuniti masing-masing.
“Kita galakkan mereka kongsikan kejayaan dengan rakan-rakan dan penduduk kampung agar menjadi motivasi kepada yang lain.
"Jika momentum ini diteruskan bersama sokongan dasar kerajaan dan peranan pelajar sendiri, saya yakin lebih ramai anak Orang Asli dan masyarakat luar bandar akan berjaya sekali gus mengurangkan kadar keciciran pendidikan,” ujarnya.