BAGAIMANA acuan, begitulah kuihnya.
Demikian peribahasa yang tepat ditujukan buat qariah negara, Sharifah Khasif Fadzillah Syed Mohd Badiuzzaman atas kejayaan anaknya, Abeer Widad Muhammad Hizal, 10, yang muncul johan Tilawah Al-Quran peringkat kebangsaan.
Menerusi hantaran di Instagram, juara Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2009 itu berkongsi berita gembira anak kesayangannya mengungguli Mahrajan Al‑Quran Sekolah‑Sekolah (MQSS) 2025 baru-baru ini.
"Alhamdulillah, syukur atas izin-NYA anakanda Abeer berjaya menjadi johan kebangsaan sekolah-sekolah Malaysia pada usia 10 tahun.
"Rezeki Abeer sudah tertulis. Yang lain tak kurang hebatnya. Insya-ALLAH semoga legasi al-Quran tetap terus berkembang sehingga ke akhir hayat. Takbir!" kongsinya.
Si kecil ini sememangnya berbakat. Terdahulu, qariah berusia 42 tahun itu berkongsi beberapa tip mendidik dan menggilap bakat Abeer dalam bidang ini.
Memetik Nona, Sharifah Khasif yang menerapkan konsep mengaji secara santai mengimpikan Abeer menjadi seorang anak yang solehah dan berjaya di dunia mahupun akhirat.
“Sebagai ibu, sudah tentu saya nak Abeer lebih daripada saya. Kalau boleh saya nak Abeer menjadi seorang insan yang bukan sekadar cantik bahkan cerdik, setia dan terdidik. Abeer bebas memilih kerjaya, namun asasnya haruslah dengan menjadi ahli al-Quran, menjadi mutiara yang sangat berharga di sisi ALLAH SWT, insya-ALLAH.
"Saya dalam usaha nak menjadikan Abeer seorang insan yang akan meneruskan legasi sebagai qariah negara. Amin Ya ALLAH. Saya dah nampak kelebihannya dari segi suara. Bakat pun dah ada. Skill saja perlu diasah lagi. Makhraj serta sebutannya jelas dan bulat-bulat, ketepatan makhraj yang sedap didengar," katanya.
"Mengaji satu kewajipan untuk anak-anak kecil seperti Abeer. Saya aturkan kelas khas untuk Abeer bersama kanak-kanak lain bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam pembelajaran al-Quran sejak kecil.
"Namun begitu, saya tak terlalu menekan kerana menerapkan gaya santai dan fun. Ini jugalah pendekatan yang saya gunakan untuk kelas anak-anak di Akademi of Sharifatuna Quranic Arts (ASQA). Alhamdulillah mereka seronok tapi syaratnya tak boleh ponteng kelas.
"Saya menjadikan ibu sebagai contoh dalam mendidik anak. Ibu seorang yang sangat sabar dalam mendidik anak-anaknya. Ibu seorang yang tak banyak cakap, pendiam namun jujur. Susah sangat nak ikut, mungkin cara saya berbeza. Saya banyak ikut cara arwah walid (ayah) beliau seorang yang tegas namun sangat penyayang," kongsinya.
Sumber: Instagram, Nona