BARU-baru ini hantaran media sosial Threads penyanyi Zizi Kirana menjadi perhatian ramai. Dalam hantaran Insta Story, penyanyi lagu Eh itu meminta orang ramai tidak membuat tafsiran yang salah.
Pemilik nama Nur Fazelah Mad Tahil, 40, itu menjelaskan, tidak menyangka hantaran yang dikongsi sekitar tahun 2022 dikaitkan dengan dakwaan rumah tangganya dikatakan berantakan.
“Berkenaan isu yang dibangkitkan semula kebelakangan ini, sebenarnya sudah lama berlalu.
“Cuma mungkin masa isu ini muncul semula membuatkan pelbagai tafsiran terjadi.
“Saya juga dimaklumkan bahawa beberapa status lama saya di Threads serta video TikTok saya dari tahun 2022 telah diambil dan dijadikan bahan perbualan semula,” katanya dalam Instagram hari ini.
Jelas Zizi, konten yang dikongsi dalam media sosial adalah secara rawak dan tidak mempunyai kaitan dengan apa-apa isu termasuk hal peribadi sesiapa pun.
“Saya menulis dan berkongsi sebagai seorang manusia sama seperti kalian, bukan untuk dijadikan babak tambahan dalam cerita sesiapa.
“Saya percaya, seni yang tulen dan jujur tak perlukan kisah peribadi sesiapa pun,” jelasnya.
Dalam hantaran berkenaan, isteri Yusuf Bahrin itu berkata, sejak dahulu lagi dia mengamalkan prinsip tidak mencampur adukkan antara kerjaya dan hal peribadi.
“Sejak awal penglibatan dalam dunia seni, saya memang memilih untuk tidak mencampuradukkan hal kerja dan peribadi. Itu cara menjaga apa yang saya sayang.
“Yang mengenal dan menghormati, akan serta diam. Saya memilih untuk tidak mengulas panjang.
“Cukuplah saya terus mendoakan yang baik-baik untuk semua, termasuk diri sendiri. Sayang kalian semua,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, Zizi menafikan dakwaan rumah tangganya dengan Yusuf goyah dan meminta orang ramai terus mendoakan terbaik.
Desas-desus rumah tangganya dikatakan bergelora bermula selepas Zizi dikatakan kerap memuat naik konten seolah-olah kecewa menerusi platform Threads.