PELAWAK, pelakon dan pengacara tersohor, Nabil Ahmad memang sinonim dengan gelak tawa.
Namun di sebalik personalitinya yang ceria, tersimpan satu sisi jiwa besar dan niat murni yang cukup menyentuh hati.
Bertitik tolak daripada hasrat seorang ibu yang ingin mencari bekalan akhirat, Nabil kini dalam proses membina sebuah madrasah di atas tanah milik keluarganya di Mambau, Negeri Sembilan.
Tanah yang berkeluasan lebih kurang satu ekar setengah itu akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk mendirikan pusat ilmu lengkap dengan kediaman untuk ustaz dan pelajar, serta ruang pengajian terbuka untuk masyarakat setempat.
“Tanah ini lebih kurang satu ekar setengah dan saya akan guna sepenuhnya. Kos pembinaan termasuk penempatan ustaz, pelajar dan tempat orang datang mengaji sekitar RM500,000,” ujar Nabil yang juga pengacara program popular Gegar Vaganza.
BEKALAN AKHIRAT
Menurut Nabil, buat masa ini kos pembinaan ditanggung sepenuhnya oleh beliau sendiri. Namun, hatinya terbuka jika ada insan-insan yang mahu turut serta menyumbang dalam projek amal ini.
“Sekarang saya biayai sendiri tempat pembinaan itu tetapi insya-ALLAH nanti saya akan buka kepada sesiapa yang ingin turut serta. Bila saya uar-uarkan nak buka madrasah, ramai yang mesej nak bantu,” kongsinya.
Niat asal pembinaan madrasah ini tercetus daripada ibunya, Rohaizah Abdul Latiff, yang kini menjalani rawatan dialisis sejak lapan tahun lalu. Kata Nabil, ibunya sering menyuarakan keinginan untuk menyumbang sesuatu demi bekalan akhirat.
“Ibu saya selalu tanya pasal madrasah sebab dah lapan tahun dia buat rawatan dialisis. Dia risau sebab umur makin tua, jadi dia nak buat sesuatu sebagai bekalan akhirat.
“Saya cuba secepat mungkin untuk mulakan pembinaan ini. Impian saya, kalau boleh biarlah ibu sempat tengok prosesnya, dari mula bina sampai ada pelajar yang tinggal dan belajar di situ,” tambahnya lagi.
Sebelum ini, Nabil pernah menyuarakan hasrat untuk menukar rumah pusaka keluarganya menjadi madrasah. Rumah tersebut menyimpan banyak kenangan indah zaman kecil bersama keluarga, dan kini bakal menjadi tempat lahirnya generasi penuntut ilmu agama.
Projek pembinaan madrasah itu turut diumumkan Nabil semasa sidang akhbar The Chosen One Xtra X Jutawan Ekspress, yang turut menyaksikan sokongan moral daripada rakan media dan peminat.