KANAK-kanak lelaki yang kritikal akibat lemas di sebuah rumah inap di Melaka baru-baru ini rupa-rupanya masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Melaka pada Isnin.
Hal berkenaan dimaklumkan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Datuk Kalsom Noordin yang menemui ibu bapa kanak-kanak itu ketika melawat mangsa.
Sebelum itu, seorang lelaki ada berkongsi status bahawa anak lelakinya yang kritikal akibat lemas telah meninggal dunia, dipercayai kerana dia tidak dapat mengawal emosinya.
Jelas Kalsom, kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun tersebut kini masih bergantung sepenuhnya dengan mesin bantuan pernafasan di wad berkenaan.
Kongsinya lagi, pihak keluarga kanak-kanak berkenaan berharap keajaiban daripada ALLAH SWT agar kanak-kanak itu diberikan peluang untuk hidup. Malah mereka turut meminta orang ramai mendoakan kesembuhan.
"Hanya keajaiban ALLAH yang boleh menentukan segalanya sebab itu, pada hari pertama kejadian (bapa) rasa kecewa dan reda sebab itu dia terlepas cakap mangsa (meninggal dunia), mungkinlah.
Artikel berkaitan
Lima bulan koma akibat lemas kolam, Umar pergi selamanya. 'Selamat tinggal anak syurga ibu'
"Dalam pertemuan tadi, doktor juga memaklumkan otak mangsa sudah tidak lagi berfungsi atau otak mati dan bergantung sepenuhnya pada mesin bantuan penafasan," katanya.
Difahamkan, satu prosedur khas pada Selasa ini bakal dilakukan untuk mengetahui adakah mangsa boleh diselamatkan sekiranya mesin bantuan pernafasan dicabut.
Baru-baru ini media melaporkan bapa kanak-kanak itu, Ahmad Ridzuan Supian, 36, mengesahkan anaknya Ahmad Firdaus Iqbal, 7, telah meninggal dunia selepas tidak menunjukkan reaksi balas ketika mendapatkan rawatan di hospital itu.
Tidak hanya itu, menerusi akaun TikTok Ahmad Ridzuan turut berkongsi status bahawa jenazah anak bongsu daripada dua adik-beradik itu akan dibawa pulang ke Johor untuk pengebumian.
Sumber: Sinar Harian