Anak terlantar sakit akibat lemas di kolam, wanita ini harap ada keajaiban. 'Bila berbual, Umar akan genggam tangan saya'
HATI mana yang tidak meruntun, jiwa mana yang tidak luluh apabila anak yang ditatang bagai minyak yang penuh dan dahulunya ceria serta penuh senyuman kini terlantar sakit tanpa daya.
Itulah situasi yang dialami Nurul Izzati Barni, ibu kepada Che Umar Rais Che Fairollah, seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang terlantar sakit lebih empat bulan akibat insiden lemas di sebuah kolam.
Rentetan daripada tragedi tersebut, si kecil itu terpaksa bergantung kepada tiub untuk bernafas dan makan.
Kolam air matanya seolah-olah tidak surut, bahkan sentiasa mengalir mengenangkan nasib yang menimpa anaknya.
Pun demikian naluri seorang ibu tetap yakin anak kesayangannya itu masih mendengar setiap tutur katanya. Malah, ia dibuktikan dengan genggaman erat tangan kecilnya setiap kali ibunya berbicara.
Pada masa sama, dia tidak pernah putus asa, malah terus berdoa agar keajaiban hadir dan anaknya kembali sihat seperti dahulu.
“Dia sudah ada tindak balas positif terutama dengan genggam erat tangan saya apabila saya bercakap atau memegangnya.
"Setiap kali saya berbual dengannya pasti akan menitiskan air mata.“ kongsi wanita tabah yang mesra disapa Nurul Izzati ketika ditemu bual SinarPlus baru-baru ini.
Sebelum ini tular di aplikasi TikTok memaparkan video berdurasi kurang dua minit tentang keadaan seorang kanak-kanak lelaki yang menyayat hati dan hanya terlantar di hospital.
Menurut wanita berusia 30 tahun itu, Umar Rais kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, Kedah selepas kejadian lemas yang berlaku sekitar September tahun lalu.
Bantuan CPR
Bercerita lanjut mengenai kejadian lemas yang menimpa anak bongsu daripada tiga beradik itu, Nurul Izzati memberitahu, dia sempat memberikan bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) sebelum segera membawa anaknya ke hospital.
Tragedi itu berlaku ketika dia bercuti bersama rakan dengan membawa Umar bersama.
"Dia terjatuh dalam kolam mandi dan lemas. Saya terjun selamatkannya dan beri bantuan pernafasan awal sebelum membawanya ke hospital
“Buat masa sekarang saya hanya mampu berdoa dan berharap agar Umar Rais kembali sihat seperti sebelum ini.
“Sebelum ini Umar seorang yang cukup murah dengan senyuman, ringan mulut selain selalu ucap terima kasih,“ katanya.
Tambah ibu tabah itu lagi, sehingga hari ini dia masih menjaga anak lelakinya itu di hospital, sementara suaminya kini sedang menunaikan ibadah umrah, sekali gus memohon doa untuk kesembuhan buah hati kesayangan mereka.
"Suami juga sering melawat jika berkelapangan memandangkan dia bertugas sebagai anggota polis.
"Cuma sekarang saya seorang sahaja uruskan Umar kerana suami kini mengerjakan umrah di Tanah Suci.
“Dia ke sana dengan niat nak mendoakan anak kami di depan Kaabah," kongsinya.
Suri rumah itu juga mengingatkan kepada ibu bapa untuk sentiasa berwaspada dengan keselamatan anak-anak.
Malah, dia mengakui amat penting untuk mendalami ilmu CPR supaya dapat memberikan bantuan awal sekiranya berdepan situasi kecemasan.
Pada masa sama, ibu kepada anak kecil itu turut memohon sumbangan daripada orang ramai bagi menampung kos rawatan di hospital dan barangan keperluan seperti lampin anaknya.
“Doakan juga kesembuhan anak saya agar dia kembali sihat seperti sedia kala,“ ujarnya lagi dengan sayu.
Bagi yang ingin menghulurkan bantuan, boleh berbuat demikian di 001196489254 (maybank) 152095967027 (maybank) atas nama Nurul Izzati Barni atau berhubung di TikTok @Adikcik94.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang