KADANGKALA cinta dan keberanian itu tak perlukan jubah atau gelaran. Ia hanya perlukan hati yang sanggup berkorban, seperti yang dilakukan seorang guru dari Bangladesh ini.
Kisah Maherin Chowdhury, 46, mungkin bukan satu yang sedang tular di media sosial, tetapi pengorbanannya cukup besar, sehingga meragut nyawanya.
Maherin bukanlah sesiapa yang terkenal. Beliau hanyalah seorang guru Bahasa Inggeris di sebuah sekolah di kawasan utara Dhaka.
Namun, dalam satu insiden tragis baru-baru ini, beliau memilih untuk tidak melarikan diri seperti orang lain. Sebaliknya, beliau berlari kembali ke dalam bangunan yang sedang terbakar, berkali-kali demi menyelamatkan anak muridnya.
Ya, berkali-kali. Sedangkan api sedang marak, dan dia sendiri terbakar.
Memetik Sinar Harian, insiden yang meragut sekurang-kurangnya 29 nyawa itu berlaku selepas sebuah jet pejuang milik Angkatan Udara Bangladesh, jenis F-7 BGI, terhempas di kawasan sekolah ketika menjalani misi latihan. Malangnya, kebanyakan yang maut adalah kanak-kanak.
Tapi inilah yang menyentuh hati, ketika semua orang lari menyelamatkan diri, wanita itu buat keputusan sebaliknya.
“Ketika pesawat jatuh dan api mula merebak, semua orang berlari menyelamatkan diri. Tetapi dia berlari untuk menyelamatkan orang lain,” cerita rakan sekerja, Khadija Akter.
Adiknya, Munaf Mojib Chowdhury, yang mendapat tahu tentang keberanian kakaknya bukan daripada media, tapi daripada anak-anak murid yang terselamat waktu itu yang sedang dirawat di hospital.
“Saya tak tahu jumlah sebenar, tapi mungkin sekurang-kurangnya 20 orang berjaya dia selamatkan. Dia tarik mereka keluar dengan tangan sendiri,” kata Munaf penuh sebak.
WIRA SEBENAR
Dan lebih memilukan, menurut saksi yang berada di lokasi, Maherin sempat menerima panggilan daripada suaminya yang merayu agar dia keluar dari kawasan terbakar itu.
Tapi jawapannya cukup ringkas, cukup kuat:
“Mereka juga anak-anak saya dan mereka sedang terbakar. Macam mana saya boleh tinggalkan mereka?”
Ayat itu… menusuk. Tak semua mampu ucap, dan tak semua mampu lakukan seperti yang dia lakukan.
Akhirnya, Maherin menghembuskan nafas terakhir akibat luka terbakar yang terlalu parah, pada hari yang sama kejadian berlaku. Jenazahnya kemudian dikebumikan di kampung halaman di Daerah Nilphamari, utara Bangladesh.
Beliau meninggalkan seorang suami dan dua anak lelaki yang masih remaja.
Kadang kita lupa, wira sebenar tak semestinya pakai seragam atau ada pangkat besar. Wira sebenar adalah mereka yang memilih untuk tidak mementingkan diri, walaupun tahu itu mungkin pilihan terakhir mereka.
Maherin Chowdhury telah tinggalkan dunia, tapi keberaniannya tak akan padam. Dia bukan sekadar seorang guru, tapi lambang kasih sayang sejati, seorang ibu kepada semua anak muridnya.
Semoga kisahnya terus hidup dan jadi inspirasi buat kita semua.