'KAU jatuh di pelukannya, padahal aku yang berjuang.'
Dalam dunia seni suara, ada lagu yang sekadar sedap didengar dan ada juga lagu yang menyentuh hingga ke dasar jiwa.
Itulah yang berlaku kepada penyanyi berbakat, Ara Johari, apabila pentas nyanyiannya bertukar menjadi medan emosi yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
Semuanya bermula apabila dia menyanyikan lagu penuh makna, Menjaga Jodoh Orang Lain. Di sebalik senyuman di wajah, siapa sangka air mata seorang wanita yang hadir akhirnya mengundang tangisan Ara sendiri.
Tular di laman sosial TikTok, Ara atau nama sebenarnya Nurfarrah Izzatie Johari menangis tersentuh dengan reaksi peminatnya ketika menyampaikan lagu balada berkenaan dalam persembahannya baru-baru ini.
Saat bait lagu dilantunkan, penyanyi berusia 28 tahun itu bercucuran air mata dan sempat mendekati seorang penonton yang tidak henti menangis dan di situlah detik paling menyayat hati berlaku.
"Maaf saya tanya, dia tinggal hidup?" tanya Ara sambil menenangkan peminat berkenaan bersama bayinya.
Tangannya memegang tangan wanita berkenaan yang turut memangku seorang bayi kecil.
Ruangan komen hantaran video berdurasi satu minit 17 saat itu menjadi saksi luahan pengorbanan wanita buat lelaki yang pernah disayangi. Ujar mereka;
"Lagu ini pun buat saya auto nangis. Sama dengan kisah hidup saya, 17 tahun saya hanya menjaga jodoh orang lain."
"Kesilapan terbesar wanita dalam hidup ialah tersalah memilih suami. Ada sebab tangisannya itu. Moga sis kuat. Sis selayaknya mendapat pasnagan yang lebih baik."
"Dia baru pegang, aku sudah banjir."
"Saya pun masih mendukung bayi lapan bulan. Anak pertama tujuh tahun manakala anak kedua tiga tahun. Ketika anak ketiga usia sebulan saya diceraikan. Sejak itu urus anak ke hulur ke hilir sendiri. Dia seronok dengan dunia dia dan perempuan itu. Saya terimanya daripada dia bukan siapa-siapa sehingga sekarang berjaya berada di atas. Tapi pengorbanan saya sia-sia."
"Aku sedih sebab anak itu masih kecil. Aku daripada keluarga bercerai tahu pedih rasanya."
"Aku yang lelaki pun ikut menangis. Tolong fikir dulu pasal anak sebelum berpisah. Aku bab anak memang kalah."
"The way Ara holds her hand. Even bukan tangan aku, cara Ara pegang boleh rasakan ia menyalurkan kekuatan."
Sekadar info, Menjaga Jodoh Orang Lain adalah single ciptaan komposer seberang, Ilham Baso manakala gubahan muzik daripada penggubah lagu terkenal Adrian Purwanto. Menjaga Jodoh Orang Lain dilancarkan pada 31 Julai 2024.