PEMERGIAN adik Zara Qairina, 13 tahun, yang dikatakan akibat dibuli, telah membuka luka dan persoalan yang sangat mendalam dalam kalangan rakyat Malaysia.
Lebih-lebih lagi bagi emosi mereka yang bergelar ibu bapa. Dalam banyak suara yang menyuarakan keperitan kisah ini, salah seorang yang turut meluahkan perasaannya ialah selebriti dan penyanyi berasal dari Sabah, Bella Astillah.
Menerusi satu perkongsian penuh emosi di Instagram miliknya, Bella menyatakan kesedihannya yang mendalam terhadap insiden yang menimpa adik Zara, seorang anak Sabah sepertinya, yang pergi dalam keadaan penuh tanda tanya.
“Sebagai seorang ibu dan juga Sabahan, hati saya hancur. Seorang anak kecil, di usia muda begitu, terpaksa menanggung penderitaan yang tak sepatutnya,” luah Bella.
Menurut maklumat yang tersebar, adik Zara dipercayai menjadi mangsa buli dan disakiti di tempat tinggalnya, dipercayai asrama.
KEBAJIKAN PELAJAR
Namun sehingga kini, masih belum ada pihak yang tampil bertanggungjawab atau memberikan penjelasan penuh tentang apa sebenarnya yang berlaku.
"Kenapa sampai begini baru kita mula buka mata? Ndakan lah kita mau biarkan jak apatah lagi melibatkan nyawa!” tulis Bella, yang nyata tidak mampu menyembunyikan perasaan amarahnya.
Malah, ibu kepada sepasang cahaya mata itu berkata, persoalan besar perlu ditujukan kepada pihak yang sepatutnya memantau keselamatan dan kebajikan pelajar di asrama yang mana itulah tempat yang menjadi harapan dan kepercayaan ibu bapa.
"Kalau ini berlaku pada anak kita sendiri, sanggupkah kita berdiam?” soal Bella yang jelas menggesa supaya isu buli ini tidak dipandang ringan.
Dalam coretannya yang menyentuh jiwa itu, pemilik nama sebenar Dayang Ara Nabellah Awang Astillah turut menekankan bahawa buli bukanlah isu remeh yang boleh dipandang sepi.
MEMBUTAKAN HATI
Setiap anak perlu dipantau, didengari dan dididik agar menjadi insan berperikemanusiaan – bukan mereka yang menindas dan menyakiti.
“Jangan kita diam. Jangan tunggu ada lagi Zara yang lain. Tolonglah bha pantau anak-anak kita.
"Dengarkan dorang. Didik dorang supaya jadi manusia yang ada empati, bukan yang kejam,” tulisnya.
Perkongsian Bella itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang turut bersedih dan marah dengan apa yang berlaku.
Ramai yang bersetuju bahawa sistem yang sepatutnya menjaga dan melindungi anak-anak, kini kelihatan seperti gagal menjalankan tanggungjawabnya.
"Kita gagal bila anak-anak terbiar dalam sistem yang membutakan hati dan menutup kebenaran,” tegas Bella dalam kenyataannya.
Di akhir tulisannya, wanita berusia 31 tahun itu mendoakan agar roh adik Zara Qairina ditempatkan di syurga tertinggi dan menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamah.
“Saya doakan keadilan akan datang. Saya akan terus bersuara untuk Zara.
"Semoga ALLAH SWT tempatkan adik Zara di syurga tertinggi. Amin ya rabbal ‘alamin.
"Salam takziah dan kekuatan buat seluruh keluarga yang sedang berduka cita. Al-Fatihah buat adik Zara Qairina," ungkapnya.
Perkongsian ini bukan sekadar luahan hati seorang ibu dan anak Sabah, tetapi juga satu seruan agar kita tidak lagi memandang ringan isu buli dan penderaan pelajar di institusi pendidikan dan asrama.
Zara mungkin telah pergi, namun suara-suara yang menyebut namanya tidak akan terpadam begitu sahaja.