TAKZIAH diucapkan buat penyanyi veteran, Datuk Yusni Hamid atas pemergian suaminya, Abu Hamid Abd Shukor, 77, awal pagi tadi.
Memetik Awani, Allahyarham Abdul Hamid meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas dimasukkan ke hospital berkenaan 20 hari lalu akibat jangkitan inflamasi pada tisu otak atau 'sceptic shock secondary'.
Meskipun sedih, Yusni yang ditemui reda dengan pemergian arwah suaminya.
"Kesihatan suami merosot selepas Hari Raya Aidilfitri. Saya reda, dia sudah lama sakit," katanya.
Terdahulu, Allahyarham Abu Hamid yang merupakan pengurus Yusni mengalami pelbagai komplikasi penyakit termasuk buah pinggang, gout dan kolestrol.
"Keadaan ayah kurang baik semalam, doktor lakukan imbasan pada otaknya. Namun, belum sempat keputusan keluar, ayah sudah meninggal dunia
"Sekitar jam 5 pagi, kakitangan hospital hubungi mama dan abang, memaklumkan ayah sudah tiada.
"Waktu itu kami baru balik dari hospital untuk berehat sebentar," katanya.
Jenazah Allahyarham Abu Hamid dikebumikan selepas Zohor di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Hulu Klang selepas dikapan dan disolat di Masjid Ukay Perdana.
Sumber: Astro Awani