PENYANYI nasyid, Nazrey Johani, dimasukkan ke sebuah pusat perubatan di Kota Kinabalu, Sabah, sejak Ahad lalu akibat sakit jantung dan sukar bergerak.
Isterinya, Habibah Johhny, 33, berkata, bekas anggota kumpulan Raihan itu kemungkinan mengalami masalah jantung disebabkan kesibukan kerja sejak akhir-akhir ini, hingga membawa kepada stres.
"Masalah jantung ini tidak pasti bila berlaku sebab tiada simptom teruk. Cuma sejak dua bulan lalu, kadang-kadang suami mengadu sakit dada, tetapi tidaklah kerap.
"Dalam bulan ini, suami penat dengan kerja dan stres. Jadi, itu mungkin punca, apatah lagi, dia sudah berumur. Bulan ini, dia sibuk berlatih dan rakamkan lagu bersama kumpulan The Zikr dan Yabang.
"Suami juga pergi ke Port Dickson, Negeri Sembilan untuk buat persembahan dengan kumpulan The Zikr. Kemudian pulang ke Sabah untuk buat persediaan bagi persembahan di sebuah acara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Jumaat ini," katanya.
Nazrey kini stabil selepas menjalani pembedahan memasukkan tiub dan belon. Namun, dia masih perlu dirawat untuk beberapa hari sebelum dibenarkan pulang.
Difahamkan, penyanyi berusia 54 tahun itu disarankan untuk rehat selama enam bulan.
Nazrey terdahulu mengadu sakit dada sejak malam Sabtu, sehinggalah keadaan bertambah serius, keesokannya.
Sumber: Berita Harian