SUDAH lebih dua dekad berkecimpung dalam dunia seni, namun Intan Ladyana tetap kekal merendah diri.
Berbeza dengan segelintir anak seni lain yang berlumba-lumba mengejar glamor, namun bekas penuntut jurusan undang-undang di United Kingdom itu enggan mengejar populariti mahupun pencapaian semata-mata.
Empunya diri sebaliknya memilih untuk fokus kepada apa yang lebih bermakna iaitu keluarga, kesederhanaan dan keseimbangan dalam hidup.
Bergelar isteri kepada penyanyi muda,Harris Alif sejak Februari 2021, perbezaan usia 17 tahun antara mereka bukan halangan buat pasangan sama cantik sama padan itu meniti bahagia.
Malah, mereka membuktikan bahawa komunikasi dan persefahaman adalah asas utama dalam membina rumah tangga yang harmoni.
Bagi Intan Ladyana, kehidupan juga bukan satu perlumbaan. Demikian juga populariti yang baginya bukan ukuran mutlak kejayaan.
Yang penting, bahagia dalam pilihan sendiri, sambil terus melangkah.
Bekas finalis Dewi Remaja 2005/06 itu juga kini sudah berhijab dan tampil lebih sederhana. Dia bagaimanapun tidak melihat keperluan untuk tampil bergaya terlalu melampau.
Sebaliknya, tuan punya badan menganggap penampilan sekarang lebih selesa dan sesuai dengan dirinya.
Justeru, tidak hairanlah walaupun hadir dalam majlis keraian, Intan yang tampak sederhana, tetapi penuh aura.
SinarPlus kongsikan temu bual eksklusif pelakon filem Banglo Seksyen 12 itu baru-baru ini.
KEMUNCULAN SEMULA
Lama tidak muncul di kaca televisyen, Intan Ladyana bagaimanapun menafikan dirinya ‘menghilang’ daripada radar seni.
Sebaliknya, pelakon yang kini tampil berhijab dan tampak matang itu memilih untuk memberi tumpuan kepada fasa kehidupan selepas bergelar isteri dan ibu.
Terbaharu, dalam temu bual eksklusif bersama SinarPlus, tuan punya badan memberitahu, dia kini merancang kemunculan semula dalam dunia lakonan selepas ditinggalkan buat seketika kerana melahirkan anak keduanya.
“Sekarang ini saya nak buat kemunculan semula. Anak kedua saya pun sudah berusia setahun dua bulan. Sebelum ini saya hanya ‘berhenti’ sekejap sebab mengandung dan kemudian melahirkan anak.
“Justeru, saya nak fokus supaya anak besar sikit, baru aktif kembali,” ujar pemilik nama sebenar, Intan Nurladyana Mohamat Yahaya itu kepada penulis.
Anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor itu mengakui, meskipun bergelar ibu, kerja seni tetap menjadi pilihan.
“Cumanya tidaklah seaktif dahulu memandangkan saya sudah ada tanggungjawab kepada keluarga. Jadi, segala perancangan kini akan bergantung kepada keperluan anak dan keluarga terlebih dahulu.
“Namun, lihatlah mana yang kita ubah sedikit, tengok terlebih dahulu jadual macam mana.
“Saya bersyukur setakat ini jika ada penggambaran, suami akan duduk rumah jaga anak. Kalau dia ada penggambaran, giliran saya pula duduk rumah. Kami sama-sama main peranan dan ambil tanggungjawab terhadap penjagaan anak-anak,” katanya yang lebih selesa tanpa bantuan pembantu rumah.
Kebimbangan terhadap keselamatan dan kepercayaan adalah antara faktor utama dia dan suami memilih untuk menguruskan anak secara sendiri.
“Bukan tak nak ada pembantu rumah, tapi melihatkan situasi sekarang, kita kena berhati-hati.
“Banyak sangat kes sekarang ini yang membuatkan saya dan suami rasa lebih selesa untuk jaga sendiri,” jelasnya.
Mengulas tentang keletihan sebagai ibu kepada Evie Khadeeja dan Haris Umai, dia mengakui cabarannya sangat nyata. Namun, ia adalah satu bentuk kepenatan yang dia terima dengan hati terbuka.
“Kalau duduk rumah dengan anak hari-hari pun penat. Tapi itu lumrah yang semua ibu hadapi. Kita penat, tapi tetap kena beri perhatian sepenuhnya kepada anak-anak,” katanya.
Malah, isteri kesayangan Harris Alif itu turut berkongsi tentang pembahagian tugas antara dirinya dan suami dalam membesarkan anak-anak. Intan tegas, manakala suami lebih santai.
“Dengan mak-mak ini, biasanya anak-anak lebih berkelakuan baik. Tapi dengan ayah, kerja mereka asyik main sahaja. Namun, sebagai ibu bapa kami ada bahagian masing-masing. Saya ajar, suami bermain,” katanya sambil ketawa kecil.
Bercerita tentang cara mendidik anak, pelakon, pengacara dan pengarah itu nyata tidak tergolong dalam kelompok ibu bapa yang terlalu memaksa.
Baginya, zaman kanak-kanak adalah fasa untuk mengenal dunia, bukannya untuk dikejar pencapaian.
“Anak baru setahun lebih, baru nak belajar sebut ‘ibu’ dan ‘ayah’. Yang satu lagi baru masuk sekolah tahun ini. Jadi, pendekatan dalam mendidik anak-anak mudah, kami tidak mahu memaksa mereka.
“Sebaiknya, biarkan mereka kenal dunia ikut rentak yang diingini. Saya dan suami mengikut apa yang anak-anak minati. Jika mereka suka buku, kami akan belikan. Kalau suka muzik, kami akan beri galakan.
“Setiap hari saya bacakan buku. Walaupun anak masih belum boleh membaca, saya tetap tunjuk dan ajar. Bukan sebab nak dia jadi pandai cepat. Saya lebih suka tengok apa minat anak dan beri sokongan,” katanya.
KEHIDUPAN PERIBADI
Berbeza dengan sesetengah artis yang mengejar populariti melalui gosip dan kontroversi, Intan pula memilih untuk kekal merendah diri. Dia mengakui tidak selesa terlalu mendedahkan kehidupan peribadi.
“Saya lebih suka pendedahan yang berkait dengan kerja, bukan kehidupan peribadi. Mungkin segelintir anggap kontroversi sesuatu yang baik, namun berbeza dengan saya.
“Begitu juga dalam soal tunjuk kebahagiaan dengan suami kerana takut nanti jadi sebaliknya pula. Hanya jika rasa ia sesuai untuk dikongsikan, maka saya akan berbuat demikian,” ujar Intan dengan jujur.
Justeru, tatkala ditanya penerimaan diri apabila bergelar suri hati kepada lelaki yang 17 tahun lebih muda daripadanya, Intan menegaskan sikap matang suami membantu mewujudkan keseimbangan dalam rumah tangga.
“Walaupun muda, namun daripada awal perkenalan, saya nampak watak dia memang matang. Sebagai isteri, saya tak pernah nak ubah dia untuk menjadi orang lain,"tegasnya lagi.
Dalam pada itu, anak kedua daripada tiga beradik itu tidak lokek menitipkan nasihat kepada bakat baharu dunia seni.
Katanya, tiada salahnya mengejar populariti semasa, tapi kena jelas dengan niat dan hala tuju.
“Tanya diri sendiri, kenapa masuk dunia hiburan? Apa yang nak dikejar sebenarnya? Kalau sekadar nak popular, mungkin kejayaan itu tak lama. Tapi kalau ikhlas, insya-ALLAH ada jalannya,” katanya mengakhiri perbualan.