EMPAT tahun mungkin tempoh yang singkat bagi sesetengah orang, namun bagi pelawak dan usahawan Shuib, ia membawa makna cukup besar dengan perjalanan penuh ujian, keajaiban dan kasih sayang.
Melalui satu hantaran di Instagram miliknya pada Rabu, Shuib berkongsi kisah kelahiran anak bongsunya, Ayash Affan dengan penuh emosi dan kesyukuran.
“Dia lahir pada 6 Ogos 2021 pukul 4.29 petang. Dia bayi pramatang, semasa lahir dia tak bernafas hampir lapan saat, ALLAH maha hebat.
“Dengan bantuan doktor bertugas dan izin ALLAH, dia bernafas buat pertama kalinya. Hari ini genap usianya empat tahun,” tulisnya.
Dalam coretan sama, pemilik nama sebenar, Shahmira Muhamad turut menitipkan doa agar Ayash membesar menjadi anak yang baik dan soleh.
Lebih menyentuh perasaan apabila bapa kepada empat cahaya mata itu menyampaikan pesanan khas buat arwah isterinya sebagai tanda bahawa anak mereka kini sudah genap empat tahun.
“Ibu mu melihat dari jauh, dengan penuh kasih dan sayang. Selamat hari lahir anak kesayangan dunia akhirat. Ibu, anak you dah empat tahun,” katanya lagi.
Dalam pada itu, isteri kepada Shuib iaitu Watie juga tidak melepaskan peluang untuk menitipkan ucapan buat anak tirinya.
Menurut perkongsian di Instagram miliknya, wanita tersebut meluahkan rasa syukur kerana kehadiran Ayash telah membuka pintu hatinya untuk memiliki cahaya mata sendiri suatu hari nanti.
“Anak yang buatkan hati mummy terdetik untuk ada baby dari rahim sendiri sejak dia dah semakin membesar.
“Anak yang selalu buat mummy rindu dengan keletah, ciuman dan senyuman dia. Anak yang boleh buat mummy tak tidur sebelah daddy pun takpa…janji dia sebelah mummy.
“Anak yang selalu buat mummy rasa sayu hati setiap kali nak hantar pulang ke nenek. Terima kasih dah buat mummy rasa seperti ibu,” tulisnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata turut menitipkan ucapan lahir buat Ayash dan meluahkan rasa syukur melihat hubungan keluarga tersebut.
Sekadar info, Ayash Affan merupakan anak hasil perkahwinan Shuib bersama penyanyi terkenal, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin.
Siti Sarah meninggal dunia pada 9 Ogos 2021, hanya tiga hari selepas melahirkan Ayash akibat komplikasi jangkitan Covid-19.
Dalam usianya yang masih kecil, Ayash mungkin belum memahami sepenuhnya kisah hidup yang dijalani.
Namun, kasih sayang daripada seorang ayah dan kenangan tentang ibunya yang disemai sejak awal pasti akan terus menjadi ingatan selamanya.