‘Terima kasih kalau ini harga untuk penat lelah kami’ - Amir respons selepas disaman Awesome TV bersama dua pelawak lain

Iklan

AWESOME Broadcasting Sdn Bhd atau Awesome TV mengesahkan bahawa satu tindakan undang-undang telah difailkan terhadap tiga pelawak selebriti tempatan.

Tiga individu terbabit ialah Mohamad Amirullah Azmi atau lebih dikenali sebagai Amir Raja Lawak, Mohamad Ikhtiarudin Naina Mohamad (Mamak Puteh) dan Abu Musarrif Abu Bakar (Abu Mamu).

Iklan
Iklan

Awesome TV dalam satu kenyataan berkata, saman tersebut dikenakan terhadap mereka susulan penyebaran kenyataan berunsur fitnah yang dimuat naik melalui akaun media sosial masing-masing.

Iklan

Menurutnya, fitnah yang dimaksudkan berhubung kegagalan Awesome TV untuk melunaskan bayaran bagi penglibatan mereka dalam program televisyen yang disiarkan di stesen televisyen berkenaan.

“Pihak Awesome TV ingin menjelaskan, semua program yang disiarkan di saluran kami diterbitkan sepenuhnya oleh syarikat produksi luar dan sebarang urusan kontrak serta pembayaran artis adalah tanggungjawab penuh pihak produksi berkenaan.

Iklan

“Kenyataan fitnah yang dikeluarkan oleh ketiga-tiga individu tersebut telah menjejaskan imej serta reputasi Awesome TV,” katanya pada Khamis.

Tambah kenyataan itu lagi, isu berkenaan turut dibawa ke Parlimen oleh Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid tanpa sebarang pemeriksaan dan fakta teliti sehingga mengundang salah faham serta memberi gambaran tidak tepat.

“Sebagai ahli Parlimen, beliau sepatutnya berlaku adil menyiasat fakta sebelum mengeluarkan kenyataan yang tidak benar.

“Justeru itu, pihak Awesome TV telah mengarahkan firma guaman Shafie & Co untuk memfailkan saman berunsur fitnah terhadap mereka bagi melindungi integriti Awesome TV.

“Awesome TV memandang serius sebarang tuduhan yang tidak berasas dan sebarang usaha untuk mencemarkan nama baik Awesome TV,” ujar kenyataan berkenaan.

Dalam pada itu, Amir Raja Lawak tampil memberikan reaksi balas menerusi hantaran di Facebook pada Khamis susulan kenyataan rasmi yang dikeluarkan pihak stesen televisyen tersebut.

“Alhamdulillah. Terima kasih Awesome TV kalau ini harganya untuk penat lelah saya dan kami. Terima kasih banyak-banyak.

“Dari pagi tadi sebenarnya ada ramai yang hubungi tapi saya tak sempat jawab sebab rushing sangat-sangat, banyak benda nak diuruskan.

“Tadi pulak hantar abah saya ke kecemasan sebab jahitan di perut terbuka, keluar darah. Maaf telefon peribadi saya rosak tadi, sim card jadi tak masuk.

“Kalau ada wartawan dan sesiapa sahaja nak hubungi sekarang, saya minta maaf tak dapat jawab. Nanti telefon dah baik, saya jawab,” tulisnya.

Sekadar info, sebelum ini Amir bersuara menuntut bayaran tunggakan berbaki RM18,000 untuk penglibatannya dalam program di stesen televisyen terbabit.

Malah, Mamak turut berkongsi masalah sama selepas menunggu lebih tiga tahun.