KEJAYAAN qari Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan membanggakan rakyat Malaysia selepas dinobatkan sebagai johan kategori qari pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA), setelah memperoleh markah tertinggi sebanyak 97.01 peratus.
Pensyarah di Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu melakar kejayaan sekali gus mengatasi peserta dari Indonesia, Ahmad Azroi Hasibuan, yang meraih 95.13 peratus, dan wakil Turkiye, Muhammed Yahya Yildizhan, dengan 93.88 peratus, masing-masing di tempat kedua dan ketiga.
Nafas yang panjang memungkinkan qari untuk membaca ayat-ayat al-Quran dengan lebih lancar, tartil dan indah serta mempersembahkan bacaan yang lebih sempurna, terutama dalam konteks bacaan bertarannum.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Al-Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia berkongsi mengenai bagaimana mendapatkan kebolehan memiliki nafas yang panjang.
Rupa-rupanya qari berusia 27 tahun berasal dari Taiping, Perak itu pernah berhadapan masalah berkaitan paru-paru yang mengakibatkan masalah nafas pendek selepas terlibat dalam kemalangan.
Sofizah ungguli pertandingan tilawah antarabangsa, 15 fakta mengenainya
Namun, laluan menuju kejayaan bukanlah semudah yang disangka, sebaliknya menuntut keazaman dan usaha gigih yang tidak pernah luntur.
"Macam mana nak panjang yang nafas? Asalnya, nafas saya memang nafas pendek.
"Saya pernah terlibat dalam kemalangan motosikal menyebabkan tulang rusuk patah ia tertoreh paru-paru menyebabkan salah satunya mengecil.
"Kemalangan itu menyebabkan paru-paru mengecil sebelah. Apabila di X-ray, nampak ia mengecil. Lama juga saya buat latihan dan nafas ketika itu 11 hingga 12 saat sahaja, tiada perkembangan yang ketara.
"Saya teruskan berlatih sampai paru-paru saya membesar semula dan menjaga pemakanan.
"Memang pada mulanya ia pendek namun selepas latihan berterusan ALLAH berikan (nafas yang panjang)," kongsinya.
Aiman membawa pulang hadiah wang tunai RM40,000 berserta barangan kemas tajaan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), hadiah iringan dan sijil penghargaan.
Sekadar info, Aiman Ridhwan terdahulu muncul sebagai johan Qari Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 2025,naib johan kategori Qari pada MTHQK 2023 dan finalis tilawah antarabangsa Kuwait dan Iran.
Sumber: Instagram