SETELAH empat hari bertarung nyawa di wad Unit Rawatan Rapi (ICU), seorang lelaki akhirnya berakhir dengan berita yang meruntun hati bagi sebuah keluarga.
Prada Lucky Chepril Saputra Namo, seorang anggota Batalion TP 834/WM Nagekeo, Nusa Tenggara Timur (NTT), Indonesia menghembuskan nafas terakhir di Rumah Sakit Umum Daerah (RSUD) Aeramo pada Rabu lalu.
Namun, di sebalik pemergian itu, tersimpan seribu satu kisah pahit yang mencetuskan persoalan berhubung puca kematiannya.
Memetik laporan Sinar Harian, kakak mangsa, Lusi Namo mendakwa, adiknya bukan meninggal dunia kerana tugas, sebaliknya akibat didera secara fizikal oleh kira-kira 20 anggota seniornya sendiri.
Malah, Lusi turut mendakwa menerima mesej di Instagram daripada seorang wanita yang mengaku sebagai kekasih salah seorang anggota tentera yang membelasah adiknya.
Ujarnya, wanita itu mendedahkan bahawa teman lelakinya pernah menghantar gambar yang hanya boleh dilihat sekali memaparkan wajah Prada Lucky dan rakannya berlumuran darah.
Tambah Lusi, ketika dibawa ke hospital, doktor mengesahkan buah pinggang dan paru-paru Prada Lucky sudah pun hancur hingga memerlukan tiga beg darah ketika rawatan.
“Saya ada melihat kesan tapak kasut pada perut adik saya. Beberapa hari sebelum dia koma, dia sempat membuat panggilan video dan keadaannya pada masa itu kelihatan agak baik.
“Dia ada bercerita pernah dipukul senior walaupun sedang sakit,” lapor POS-KUPANG.com memetik kenyataannya pada Sabtu.
Susulan itu, wakil keluarga mangsa, Otniel menggesa pihak kepimpinan Tentera Nasional Indonesia (TNI) untuk menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kematian Prada Lucky.
“Pelaku tidak boleh dibiarkan. Mereka ibarat duri dalam daging. Kami sedia terima jika Prada Lucky gugur ketika sedang bertugas," ujarnya.
Difahamkan, upacara pengebumiannya telah diadakan penuh hormat di Rumah Dinas Asrama Tentera (Asten), Kuanino, Kecamatan Kota Raja, Kota Kupang pada Sabtu lalu.
Bagi keluarga ini, air mata yang mengiringi persemadian itu bukan sekadar kerana kehilangan ahli keluarga, namun peritnya menerima hakikat bahawa seorang pejuang negara mungkin gugur di tangan rakan seperjuangan sendiri.