RUTIN kehidupan harian di Terminal Sasayya, Bantaeng, Indonesia berjalan seperti biasa dengan deretan jualan sayur-sayuran, pelanggan tawar-menawar harga dan bunyi kenderaan silih berganti.
Namun, suasana di lokasi itu berubah menjadi tegang apabila seorang pemandu pikap yang juga penjual sayur mendakwa dirinya ditampar anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) hanya kerana mengibarkan bendera animasi popular, One Piece pada kenderaannya.
Memetik laporan Sinar Harian, kakak mangsa, Dandy Thoriq berkata, adiknya Pardi memandu pikap yang membawa sayur-sayuran untuk dijual di terminal tersebut.
Bagaimanapun, kenderaannya ditahan seorang anggota TNI sebelum sempat dia memasuki kawasan tersebut.
Menurutnya, anggota berkenaan bukan sekadar memeriksa, malah mengambil gambar nombor plat, bendera serta gambar Pardi bersama isteri dan anaknya.
“Dia tanya, ‘kau warganegara apa?’ sebelum menampar adik saya. Adik saya memang peminat One Piece sejak lama,” kata Dandy yang menceritakan semula detik memalukan dialami adiknya.
Kejadian itu kemudiannya segera dilaporkan ke Kodim 1410/Bantaeng oleh keluarga mangsa.
Walaupun pelaku dikatakan memohon untuk berdamai, keluarga Pardi enggan menandatangani surat perdamaian selagi tidak ada rakaman video permohonan maaf kepada mereka dan masyarakat.
Ujar Dandy, Pardi dan isterinya terpaksa menghentikan sementara perniagaan meskipun Pardi adalah pencari nafkah utama keluarga.
Menariknya, bendera One Piece bukan sekadar simbol minat terhadap siri animasi itu.
Baru-baru ini, rakyat Indonesia dilaporkan mengibarkan bendera berkenaan sebagai simbol bantahan politik terhadap dasar Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menjelang sambutan hari kemerdekaan negara itu.
Difahamkan, bendera Jolly Roger yang memaparkan tulang dan tengkorak dengan topi jerami itu banyak dikibarkan di trak, kereta dan kediaman sekitar Indonesia.