KELAHIRAN anak sepatutnya menjadi detik penuh harapan dan kegembiraan, namun bagi seorang wanita di Victoria, Australia, pengalaman itu bertukar menjadi satu tragedi.
Ia berikutan bayi perempuannya meninggal dunia selepas dilahirkan di rumah melalui kaedah yang dikenali sebagai ‘freebirth’ iaitu kelahiran tanpa penglibatan profesional perubatan.
Menurut dapatan Mahkamah Koroner Victoria, kematian itu berkemungkinan besar dapat dielakkan sekiranya kelahiran dilakukan di hospital atau sekurang-kurangnya dengan sokongan bidan bertauliah.
Memetik laporan Sinar Harian, ibu bayi berkenaan yang dirujuk sebagai Puan E melahirkan anaknya di dalam kolam bersalin yang disewa daripada seorang pempengaruh media sosial yang mempromosikan konsep tersebut.
“Puan E melahirkan anaknya pada Disember 2022. Sebelum kelahiran, beliau berhubung dengan seorang pempengaruh media sosial, Emily Lal yang aktif mempromosikan kelahiran bebas di Instagram menggunakan nama The Authentic Birthkeeper.
“Lal yang berusia lingkungan 30-an pernah menyuarakan rasa tidak percaya terhadap sistem perubatan dan menuduh bidan bertauliah terlibat dalam kemudaratan terhadap wanita.
“E hanya menyewa kolam bersalin daripada Lal tanpa mendapatkan nasihat atau bantuan perubatan daripadanya. Selepas melahirkan, dia meminta Lal membuat kunjungan selepas bersalin,” katanya menerusi dapatan inkuiri.
Tambah dapatan itu lagi, E kemudian menghantar mesej kepada Lal berbunyi ‘saya berjaya’ selepas setengah jam melahirkan, namun uri hanya dapat dikeluarkan pada keesokan paginya.
Pagi itu, suasana bertukar panik apabila bayi tidak memberi sebarang tindak balas dan kemudian E menghantar mesej kepada Lal berhubung ketidakpastian sama ada bayi masih bernafas atau tidak yang turut disertakan dengan gambar bayi kebiruan.
Malangnya Lal hanya melihat mesej berkenaan dan membuat panggilan video selepas 25 minit dan dia percaya bayi itu telah meninggal dunia selain mengarahkan ibu bapa bayi menghubungi ambulans.
Pasukan paramedik yang tiba di lokasi mendapati degupan jantung bayi hampir tiada. Mereka melakukan bantuan pernafasan selama 30 minit tetapi tidak berjaya.
E kemudian dibawa ke Hospital Mercy Women untuk rawatan lanjut.
Dalam pada itu, Koroner Catherine Fitzgerald menegaskan bahawa kelahiran di rumah boleh dilakukan dengan selamat sekiranya dikendalikan oleh profesional bertauliah.
Bagaimanapun, kelahiran tanpa sokongan perubatan boleh membawa risiko tinggi kepada ibu dan bayi.
Beliau merumuskan bahawa kematian ini boleh dielakkan, namun tiada dapatan salah laku dikeluarkan terhadap ibu bapa bayi tersebut atau Lal.
Tragedi tersebut menjadi peringatan keras, walaupun pilihan kelahiran adalah hak individu, namun aspek keselamatan tidak boleh dikompromi dan perlu diutamakan.