Naim Daniel curi tumpuan, hadir awal ke mahkamah untuk prosiding kedua

Iklan

PENYANYI dan pelakon berbakat, Naim Daniel, sekali lagi menjadi tumpuan apabila hadir ke Mahkamah Sesyen hari ini untuk prosiding kedua berkaitan pertuduhan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun.

Menariknya, selebriti berusia 27 tahun itu dipercayai tiba seawal jam 7 pagi, lebih awal daripada kehadiran pengamal media yang mula menunggu sekitar 7.30 pagi.

Iklan
Iklan

Ketika wartawan masih mencari kelibatnya, rupa-rupanya Naim sudah pun memasuki perkarangan mahkamah terlebih dahulu.

Pada prosiding lalu, Naim atau nama penuhnya Muhammad Na’im Daniel Baharin, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Datin M Kunasundary. Prosiding tersebut dijalankan secara tertutup.

Iklan

Menurut peguamnya, Nur Syafiah Athirah Ahmad Shafique, prosiding hari ini hanyalah sebutan untuk serahan dokumen daripada pihak pendakwaan kepada pasukan pembelaan.

Iklan

“Pada hari ini telah ditetapkan untuk sebutan serahan dokumen, yang mana pihak pembelaan telah menerima dokumen daripada pihak pendakwaan. Tarikh seterusnya telah ditetapkan pada 19 September untuk sebutan pengurusan,” katanya ketika ditemui media.

Tambah beliau, pada tarikh berkenaan mahkamah akan meneliti sekiranya terdapat pertambahan dokumen lain daripada pihak pendakwaan.

Selain Nur Syafiah, Naim turut diwakili dua lagi peguam, iaitu Datuk Amirul Ridzuan Hanif dan Mohd Irwan Sumadi.

AMANG SEKSUAL FIZIKAL

Mengikut pertuduhan, penyanyi lagu popular Sumpah itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja berusia 17 tahun tujuh bulan, di sebuah hotel pada 19 Mei lalu, jam 8.56 malam. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Izzah Shaharuddin, mencadangkan agar tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin, selain syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah serta tidak mengganggu mangsa dan saksi.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan jumlah ikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin, di samping perlu mematuhi syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Kes yang membabitkan pelakon drama Projek: High Council itu bakal terus menjadi perhatian ramai memandangkan nama Naim cukup sinonim dengan dunia seni tanah air, dan perkembangan lanjut pastinya ditunggu oleh peminat serta masyarakat.