'Wajah mommy terbayang, syukur hak dikembalikan…' – 6 tahun berjuang, anak-anak menang tuntutan harta arwah Faziani Rohban

Iklan

ENAM  tahun bukanlah tempoh yang singkat. Itulah perjalanan getir yang terpaksa ditempuhi oleh Irdina Hakim Jasman dan adik-beradik, anak kepada pengasas Dnars, Allahyarham Faziani Rohban, selepas kehilangan insan tersayang dalam tragedi menyayat hati.

Ketika mahkamah mengarahkan suami arwah memulangkan semula RM1.3 juta yang menjadi hak keluarga, hanya satu wajah yang terbayang di minda Irdina – wajah arwah mommy.

Iklan
Iklan

"Kemenangan ini bukan sekadar tentang duit, ini soal hak kami adik-beradik,” katanya penuh sebak ketika ditemu bual secara eksklusif oleh SinarPlus.

Iklan

Irdina menegaskan bahawa tindakan membawa kes ke mahkamah bukanlah kerana tamak harta atau berebut duit semata-mata, sebaliknya untuk menegakkan keadilan. Baginya, tidak adil jika harta yang dikumpul arwah dengan penuh titik peluh hanya diambil sebelah pihak.

Iklan

"Jadi jelas harta itu sepatutnya difaraidkan dengan betul,” ujarnya.

Ketika arwah pergi, Irdina baru berusia 16 tahun. Beliau mengakui tidak tahu menahu soal faraid atau hak. Namun, melihat wajah adik bongsu yang masih kecil membuatkan dirinya tekad untuk terus melawan.

“Kalau saya tumbang waktu itu, macam mana dengan masa depan adik-adik? Itu yang bagi saya kekuatan,” katanya.

Namun perjuangan itu bukan tanpa luka. Selepas kehilangan ibu, Irdina berdepan kemurungan, keresahan dan trauma yang teruk sehingga terpaksa bergantung kepada ubat.

"Tambah pula abang pernah ditahan, keadaan jadi makin teruk. Tapi syukur, doa keluarga dan orang sekeliling jadi penawar,” ceritanya.

Kerana kesihatan yang rapuh, beliau jarang hadir ke mahkamah. Namun doa tidak pernah putus.

“Saya memang tak boleh berada di tempat yang aura negatif, itu buat sakit makin teruk,” katanya jujur.

Di sebalik semua keperitan, ada pesan terakhir arwah yang kekal menjadi obor semangat buat Irdina.

"Itu kata-kata terakhirnya yang sampai sekarang saya pegang,” katanya sambil menahan sebak.

Walaupun mengaku dirinya anak yang agak “degil” dan sering buat hal, arwah tetap melayannya dengan penuh kasih. Hubungan ibu-anak yang erat itu membuatkan kehilangan terasa sukar ditelan.

Bagi Irdina, perjuangan di mahkamah bukan sekadar menuntut bahagian faraid, tetapi tentang memastikan masa depan adik-adik terjamin.

"Cukuplah saya seorang yang berkorban pelajaran. Saya mahu lihat mereka lebih berjaya daripada saya,” jelasnya.

Bagi beliau, kemenangan kes ini adalah rahmat besar daripada Allah.

“Kami adik-beradik semakin kuat, walaupun banyak ujian ditempuh, akhirnya Allah kembalikan hak yang sepatutnya,” katanya penuh syukur.

Di hujung bicara, Irdina menitipkan pesanan yang cukup dalam makna.

Beliau juga mengingatkan supaya wanita yang mempunyai harta dan anak-anak segera menyediakan wasiat atau dokumen sah.

“Jangan sekadar cakap mulut. Bila kita sudah tiada, anak-anak yang akan menanggung derita. Tengok saja kisah saya dan adik-beradik.

"Kalau dari awal arwah mommy tinggalkan hitam putih, mungkin tidak sepanjang ini perjuangan kami,"ungkapnya lagi.

Walaupun adik bongsunya lain bapa, ikatan kasih sayang tetap utuh.

"Sebab kasih ibu tiada ganti, dan kasih keluarga tetap kekal selamanya,” katanya menutup bicara.

Kesimpulannya, perjuangan Irdina dan adik-beradik menuntut hak faraid ini bukan sekadar tentang wang ringgit, tetapi tentang maruah, kasih keluarga dan masa depan.

Daripada seorang remaja berusia 16 tahun yang kehilangan ibu, kini Irdina bangkit sebagai wanita tabah yang mahu memastikan legasi arwah Faziani Rohban tidak terhenti begitu sahaja.