PELAKON dan pelawak, Along Cham, berharap Mahkamah Rendah Syariah Sepang dapat membuat keputusan berhubung kes pengesahan lafaz taklik membabitkan dirinya dan isteri, Afreena Suhaimi, pada prosiding hari ini.
Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, berkata mentalnya masih berada dalam keadaan baik sepanjang melalui proses tersebut meskipun terkesan dengan pelbagai spekulasi netizen.
“Kerja pada saya tidak terjejas sangat, cuma nama lah. Biasalah bila bab-bab kes cerai, kalau tidak dapat cerita sebenar, lelaki akan kenalah dari A sampai Z,” katanya ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Rendah Syariah Sepang bagi pengesahan lafaz taklik, di sini, petang ini.
Along diiringi peguamnya, Muhammad Akmal Amzan, selain ibu, Siti Habsah Kadir, 64, serta anak tunggalnya, Ahmad Daniel, 14, bersama seorang wanita yang dikatakan saudara terdekat.
Menurutnya, sepanjang kes tersebut berlangsung, dia tidak pernah mengeluarkan kenyataan kepada media sebaliknya hanya merujuk kepada peguam.
“Saya pun tak nak salahkan netizen tak boleh sebab pihak defendan lepas keluar mahkamah macam-macam dia cakap.
"Dekat pihak media pun setahu sayalah, saya tidak ada pun nak bercerita apa-apa. Apa yang media dengar, itulah yang keluar,” jelasnya.
LAFAZ TAKLIK
Hari ini difahamkan giliran Afreena, 29, untuk menjawab dakwaan suaminya sebelum Hakim Syarie, Muhamad Nazri Basrawi, membuat sebarang keputusan.
Terdahulu pada 28 Januari lalu, Along hadir di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, untuk menfailkan lafaz taklik, namun diarahkan membuat permohonan itu di Mahkamah Rendah Syariah Sepang mengikut alamat rumahnya.
Tindakan itu dibuat selepas Along mendakwa isterinya melanggar tiga perkara yang dipersetujui tahun lalu termasuk tidak patuh arahan dan membelakangkan suami.
Pasangan tersebut bernikah pada 4 April 2024, yang juga perkahwinan kedua Along selepas berpisah dengan penyanyi Zila Saeron pada September 2016.
Hasil perkahwinan terdahulu, Along dikurniakan seorang anak lelaki, Ahmad Daniel, 14, yang kini di bawah jagaannya.