PADA awalnya, tiada siapa menyangka seorang kanak-kanak pendiam akan menonjol dalam sukan yang masih asing bagi kebanyakan orang di Malaysia iaitu sukan stacking cup.
Di sebalik trofi dan kejayaan, Mikaeel Shahreel hanyalah seorang kanak-kanak berusia lapan tahun yang masih menikmati masa kecilnya.
Ada hari dia bermain dengan kawan, ada masa si kecil itu menyusun cawan dengan penuh tumpuan.
Bezanya, setiap kali tangan halus tersebut menyusun dan meruntuhkan menara plastik, ia bukan sekadar permainan tetapi latihan untuk mencorak impiannya.
Daripada sekadar cuba-cuba, kini Mikaeel berjaya melangkah ke pentas antarabangsa.
Malah bapanya, Shahreel Iqubal dan ibunya, Dayana Shahrauddin pun tidak pernah terlintas minat tersebut akan membawa anak mereka sejauh ini.
“Macam biasa kita hantar dia cuba macam-macam program termasuklah bermain bola dan aktiviti di sekolah.
"Suatu hari dia minta saya daftarkan untuk Johor Sports Stacking Open dengan sekolah.
"Dari situlah kami tahu dia memang minat dengan sukan tersebut,” kata Shahreel membuka bicara awal bersama SinarPlus.
Tambah Shahreel lagi, detik tersebut merintis ruang potensi anaknya mula menyerlah. Minat itu juga bukan sekadar permainan, malah turut merangsang perkembangan mindanya.
“Kami nampak dia makin cepat selesaikan masalah, otaknya lebih aktif. Sosial dia pun positif, ramai kawan baharu,” ujar lelaki itu lagi.
Bermula daripada aktiviti hujung minggu bersama sekolah dan Persatuan Sports Stacking Johor yang aktif menganjurkan pertandingan setiap bulan, rutin kanak-kanak itu kini lebih teratur.
“Di sekolah, dia berlatih sekali seminggu, manakala dengan persatuan, sebulan dua kali.
"Kalau di rumah, dia boleh berlatih dua hingga empat jam. Kadang-kadang sampai enam jam kalau dia rasa cabarannya seronok,” cerita Shahreel.
Bagi Mikaeel pula, setiap latihan ialah peluang mencabar diri sendiri. Walaupun pendiam, dia fokus dan gigih. Bapanya mengakui anaknya itu masih cuba memahami dunia sukan tersebut.
“Dia macam terkejut dengan semua yang berlaku terutama apabila menang dalam pertandingan disertainya,” kongsinya sambil ketawa kecil.
Lebih membanggakan, si kecil itu mula mengharumkan nama negara. Tahun lalu, dia menjuarai KINEX Sports Stacking Championship, Singapore. Awal tahun ini, Mikaeel muncul juara Thailand Open.
Perjalanannya dalam sukan berkenaan diteruskan apabila terpilih beraksi di Asian Open, sebelum membidik Kejohanan Dunia tahun depan.
Lebih membanggakan, semua itu dicapai tanpa mengorbankan pelajaran.
“Setakat ini alhamdulillah, tiada kesan negatif pada sesi persekolahannya. Malah, sukan tersebut banyak membantu anak saya fokus dan disiplin dalam belajar,” kata Shahreel.
KEJAYAAN SEBENAR
Setiap kejayaan Mikaeel disokong pengorbanan masa dan tenaga ibu bapa. Perjalanan ke pertandingan di Johor, Kuala Lumpur, Singapura, Thailand dan sebagainya diatur bersama jurulatih.
“Kami ikut jadual jurulatih dia. Dari masa latihan, waktu makan dan rehat, semua terancang. Kami pun masih belajar tentang dunia ini,” kata bapa itu lagi.
Bagaimanapun, mereka enggan meletakkan tekanan keterlaluan.
“Bagi kami, ia aktiviti sampingan. Dia pun ada minat lain seperti drama dan aktiviti lain di sekolah.
"Kami cuma mahu dia aktif, berkawan dan gembira. Itu sudah cukup,” tambahnya.
Bagi Shahreel, kejayaan sebenar bukan sekadar pingat kerana yang penting, hubungan sosial dan belajar menghadapi cabaran.
"Kalau rezeki dia pergi jauh dalam sukan ini, alhamdulillah. Jika tidak, pengalaman ini tetap berharga,” katanya.