Zehra Zambri tutup lembaran luka, sah bercerai selepas lima bulan berjuang di mahkamah

Iklan

PENYANYI Zehra Zambri akhirnya menarik nafas lega selepas menamatkan episod rumah tangganya bersama Nur Mohd Iqwan Samsudin apabila sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat pada Rabu.

Peguam syarie yang mewakili Zehra, Abd Muiz Samsuri memaklumkan, lafaz cerai dibuat sendiri oleh Mohd Iqwan di hadapan Hakim Wan Nuruldin Wan Hussain.

Iklan
Iklan

Memetik Gempak, penyanyi berusia 38 tahun itu berkata, walaupun perjalanan lima bulan berulang-alik ke mahkamah penuh cabaran emosi, namun dia bersyukur apabila segala urusan dipermudahkan.

Iklan

“Alhamdulillah selesai. Selepas lima bulan turun naik mahkamah, saya rasa sebahagian beban sudah hilang. Banyak perkara boleh saya rencanakan selepas ini untuk diri dan anak.

"Saya perlukan masa untuk pulihkan diri, berdamai dengan takdir dan cari semula semangat yang hilang,” katanya.

Iklan

LAFAZ CERAI

Dalam pada itu, Mohd Iqwan turut melahirkan rasa lega kerana urusan perceraian mereka akhirnya dapat diselesaikan selepas beberapa kali tertangguh.

“Alhamdulillah, hari ini selesai dan kami bercerai secara talak raj‘ie. Hari ini hanya lafaz cerai sahaja di hadapan hakim,” ujarnya sambil bersyukur semuanya berjalan lancar.

Terdahulu, pada 13 Ogos lalu, lafaz cerai itu terpaksa ditangguhkan selepas Zehra berada dalam keadaan tidak suci.

Perkahwinan yang dibina pada 11 November 2021 itu, meskipun pernah disulam bahagia, akhirnya tidak dapat diselamatkan.

Zehra yang pernah melalui kegagalan rumah tangga pada 2017 hanya bertahan enam bulan sekali lagi diuji. Namun kali ini, pengalaman menjadikannya lebih matang, lebih kuat untuk mendepani kenyataan.

Pasangan itu meninggalkan kenangan manis bersama seorang anak perempuan berusia dua tahun, yang kini menjadi sumber semangat buat Zehra untuk terus melangkah.