Sebak! Darna Tajudin pergi dengan jasa terakhir derma kornea. Tangisan lima anak undang pilu

Iklan

PEMERGIAN ibu kepada lima cahaya mata, Darna Tajudin, selepas tujuh hari bertarung nyawa terlibat kemalangan jalan raya baru-baru ini menjadi perhatian warganet. 

Setelah seminggu bertarung nyawa di ICU Hospital Tawau, wanita itu pergi jua selepas kritikal. Pada 17 Ogos, Allahyarham disahkan meninggal dunia akibat kegagalan otak berfungsi (brain death).

Iklan
Iklan

Lima anak Darna, yang berusia antara 9 hingga 18 tahun, kehilangan ibu pada usia yang terlalu muda. Tangisan mereka menjadi latar perpisahan terakhir di hospital.

Iklan

Namun, di sebalik kesedihan itu, mereka sekeluarga tetap kuat menyempurnakan pesan yang pernah arwah titipkan sebelum pergi untuk mendermakan organ.

Public Health Malaysia berkongsi suasana bilik pembedahan Hospital Tawau. 

Iklan

Seluruh kakitangan berdiri tegak, tangan di dada memberi penghormatan terakhir sebelum operasi pendermaan kornea dilaksanakan.

"Tubuh arwah terbujur kaku di atas katil, tetapi jasanya sedang hidup. Kornea matanya kini bakal menjadi cahaya untuk insan lain melihat semula dunia. 

"Arwah yang dahulunya penderma darah tegar, kini menjadi penyelamat dalam bentuk yang lebih abadi.

"Kematian tidak menutup cerita hidup Darna. Ia hanya membuka bab baru bab tentang kebaikan yang kekal mengalir," titipnya.

Seorang rakan Allahyarham dikenali sebagai Norkadijah dihubungi SinarPlus memaklumkan jenazah Darna selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Lorong Empat, Sungai Imam, Tawau pada 5.30 petang, Rabu.

Imbas kembali, Allahyrham terlibat dalam kemalangan tragis sekitar jam 7.55 malam, di Batu 9, Jalan Apas pada 10 Ogos lalu.

Ketika itu, arwah bersama beberapa rakan sedang berjoging dari Bandar Sri Indah menuju T2 Jalan Apas, sebelum dirempuh secara tiba-tiba sebuah trak pikap dipandu lelaki disyaki di bawah pengaruh alkohol.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, dalam kenyataan media pada 10 Ogos dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca apabila pemandu pikap Toyota Hilux berusia 57 tahun melanggar belakang sebuah MPV Perodua Alza dipandu lelaki 39 tahun lalu hilang kawalan.

Menurutnya, akibat pelanggaran itu kenderaan trak pikap itu terbabas ke bahu kiri jalan lalu merempuh mangsa yang sedang berjoging menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah.

Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 198.