Joging jadi detik terakhir, Darna Tajudin pergi selamanya tinggalkan 5 anak & hasrat jadi penderma organ tercapai

No Image Caption
A
A
A

SIAPA sangka, aktiviti joging yang sepatutnya menambah kesihatan dan keceriaan, akhirnya meragut nyawa seorang wanita dek kecuaian orang lain.

Itulah yang menimpa Darna Tajudin, 41, apabila dia parah dirempuh sebuah trak pikap yang dipandu lelaki dipercayai di bawah pengaruh alkohol.

Selepas tujuh hari bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tawau, akhirnya wanita itu menghembuskan nafas terakhir, meninggalkan keluarga, sahabat dan lima cahaya mata yang kini yatim tanpa belaian seorang ibu.

Tragedi berlaku pada 10 Ogos lalu, sekitar jam 7.55 malam, di Batu 9, Jalan Apas. Ketika itu, arwah bersama beberapa rakan sedang berjoging dari Bandar Sri Indah menuju T2 Jalan Apas, sebelum dirempuh secara tiba-tiba.

Pakar perubatan mengesahkan Darna mengalami ‘brain death’ akibat kecederaan parah di kepala.

No Image Caption

SATU ISYARAT

Di sebalik kisah sedih itu, semangat murni arwah terus dikenang. Menurut adiknya, Sanni Tajudin, 34, keluarga bersetuju memenuhi hasrat terakhir arwah untuk mendermakan kornea.

“Arwah pernah cakap mahu jadi penderma organ selepas tahu saya sendiri sudah berikrar. Dia belum sempat daftar, tapi sering kata tunggu kempen pendermaan organ baru nak buat. Tak sangka akhirnya hajat itu terlaksana walaupun dia sudah tiada.

“Selain itu, arwah memang penderma darah tegar. Dia sangat suka membantu orang lain,” kata Sanni ketika ditemui di Hospital Tawau.

Lebih memilukan, kata-kata terakhir arwah kepada sahabat baiknya seperti satu isyarat.

Menurut Suarni Sudirman, 36, yang juga rakan karib arwah, mereka sudah merancang aktiviti joging sejak dua minggu sebelum kejadian.

“Arwah pernah tanya saya, ‘kalau saya meninggal, ada orang datang ziarah tak?’ Saya terus tegur jangan cakap begitu, tapi dia balas, ‘mungkin saya akan pergi ketika berlari sebab itu minat saya.’

“Dia juga pernah sebut, ‘tentu saya yang akan jalan dulu.’ Tak sangka benar-benar jadi kenyataan,” kata Suarni sebak.

Malah, sebelum kejadian, Darna sempat berpesan supaya mereka memakai baju putih dan merakam gambar atau video sekerap mungkin sebagai kenangan.

No Image Caption

KEHILANGAN BESAR

Bagi rakan-rakan dalam komuniti larian pula, pemergian Darna adalah kehilangan besar.

Timbalan Presiden Tawau Runners, Sudirman Nanang, menyifatkan arwah sebagai seorang yang periang, aktif serta sentiasa menyokong program kelab.

“Semalam kami sempat adakan Jualan Amal untuk bantu keluarganya. Tak sangka pagi ini dapat berita duka bahawa arwah sudah pergi buat selamanya,” katanya.

Jualan amal itu berjaya mengutip sebanyak RM9,335 bagi meringankan beban keluarga.

PENDERMAAN KORNEA

Lebih menyayat hati, pemergian Darna meninggalkan lima anak berusia antara 9 hingga 18 tahun. Mereka kini perlu menempuh hidup tanpa ibu yang selama ini menjadi tulang belakang dan sumber kekuatan.

Sesungguhnya, kebaikan arwah bukan sahaja pada senyuman dan sifat periangnya, tetapi juga pada pengorbanan terakhir apabila menghadiahkan cahaya kehidupan buat insan lain melalui pendermaan kornea.

Al-Fatihah buat Allahyarham Darna Tajudin. Semoga rohnya ditempatkan bersama orang beriman.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang