PERDEBATAN mengenai lima remaja yang dituduh membuli Allahyarham Zara Qairina semakin hangat diperkata ramai.
Rata-rata terkejut apabila mengetahui peguam terkemuka, Datuk Ram Singh, mewakili salah seorang remaja tertuduh.
Ramai yang mengenali beliau sebagai seorang peguam yang sering mengendalikan kes berprofil tinggi.
Lantaran itu, apabila empunya diri mengakui mewakili tertuduh secara percuma atau pro bono, hal tersebut menimbulkan pelbagai reaksi daripada orang ramai.
Namun, amalan pro bono bukanlah asing dalam kalangan peguam. Menurut Muhammad Farid Wajdi bin Hanif, dari Tetuan Hanif Hassan & Co. Seremban, beliau berkongsi pengalaman mengambil kes pro bono yang benar-benar meninggalkan kesan mendalam dalam hidupnya.
“Sebenarnya, ambil kes secara percuma atau pro bono dalam kalangan peguam bukan satu perkara asing.
"Ia sangat biasa, dan boleh dikatakan acara tahunan bagi mana-mana peguam walaupun berpangkat Tan Sri,” katanya.
Menurut beliau, hampir semua klien yang memerlukan bantuan sebegini adalah rakyat marhaen, bukan individu berpangkat atau berstatus tinggi.
Farid Wajdi menceritakan satu kes yang terpahat dalam ingatannya.
Kes itu melibatkan seorang ibu tunggal beranak lima yang didakwa melakukan penipuan. Namun, hakikatnya nombor akaun banknya telah disalahgunakan pihak lain untuk melakukan scam.
“Pada mulanya, dia call dan senyap, kemudian letak. Dia call lagi dan senyap, begitu juga seterusnya. Akhirnya, dia WhatsApp kami, baru kami tahu dia pekak dan bisu.
"Bayangkan, seorang ibu tunggal lima anak, pekak dan bisu, dituduh di beberapa mahkamah di seluruh Malaysia,” jelasnya.
Ibu tunggal ini tiada wang untuk membayar peguam.
“Dia sangat terdesak kerana memikirkan anak-anak. Lalu, ayah saya meminta saya kendalikan kes ini secara percuma,” ujar Farid Wajdi.
Kes tersebut berlangsung hampir dua tahun, melibatkan enam pertuduhan di seluruh negara—Negeri Sembilan, Johor, Kedah, dan Kuala Lumpur.
Setiap kes hanya dikenakan bayaran RM50, semata-mata untuk menampung perjalanan beliau. Kadangkala, jika tiada wang, ibu tunggal itu hanya menyimpannya sahaja.
Sepanjang tempoh itu, kos surat-menyurat dan perbelanjaan lain turut ditanggung sendiri oleh peguam berkenaan.
Walaupun begitu, ibu tunggal itu tetap membayar denda walaupun bukan dia yang melakukan scam tersebut. Kesalahan sebenar hanyalah menyerahkan maklumat bank kepada pihak tidak bertanggungjawab.
“Dia minta saya kurangkan denda dan ketepikan hukuman penjara. Dia sanggup pergi ke mana-mana naik bas, kadangkala menumpang kereta saya.
Walaupun banyak denda dibayar, jumlah keseluruhan bagi setiap mahkamah kurang daripada RM1,000. Dia terpaksa pinjam daripada sanak saudara, ibu bapa dan kawan-kawan untuk bayar,” kata Farid Wajdi.
Yang lebih menyentuh hati, ibu tunggal itu tetap mahu memberi penghargaan kepada peguam melalui wang sebanyak RM300 yang diberikan dalam bentuk syiling berwarna-warni—merah, hijau, dan biru.
“Saya berkeras kata, duit itu berilah kepada anak-anaknya. Tapi dia tetap mahu beri kepada saya.
"Yang kelakarnya, kami tetap berkomunikasi melalui WhatsApp walaupun sedang berdiri depan-depan,” kongsinya lagi.
Menurut Farid Wajdi, tindakan peguam mengambil kes secara percuma bukanlah perkara luar biasa, lebih-lebih lagi kes yang mendapat liputan media.
“Ia secara tak langsung dapat memperkenalkan nama peguam, kerana di Malaysia peguam tidak dibenarkan beriklan seperti di Amerika Syarikat,” ujarnya.
Beliau menambah bahawa bagi peguam dari Semenanjung dan luar negara, mereka tidak dibenarkan beramal di Borneo kecuali melalui proses chambering terlebih dahulu.
Kesimpulannya, pro bono bukanlah sesuatu yang dilakukan setiap hari.
“Cukuplah setahun sekali. Bagi sesiapa yang meragui, ya, ada yang lakukan. Tapi bukan selalu,” tegas beliau.
Kisah ini menjadi inspirasi, bahawa di sebalik gelaran, pangkat, dan reputasi, masih ada peguam yang sudi membantu mereka yang memerlukan, demi keadilan dan kemanusiaan.