Anna Jobling bawa nama Malaysia ke Seoul, tercalon 'Outstanding Asiar Star'

Iklan

PELAKON berdarah kacukan, Anna Jobling membawa nama Malaysia ke Seoul, Korea apabila namanya diumumkan tercalon sebagai Outstanding Asian Star – Malaysia di Seoul International Drama Awards (SDA) 2025, yang bakal berlangsung pada 2 Oktober ini di Yeouido KBS Hall, Seoul, Korea Selatan.

Anna, 25, berjaya menarik perhatian dengan lakonan penuh emosi sebagai Cahaya menerusi drama popular, Hai Cinta, Dengarkanlah.

Iklan
Iklan

Lakonan penuh emosi dan mendalam Anna berjaya mencuri perhatian penonton, sekali gus membuka ruang buatnya di pentas antarabangsa.

"Sokongan daripada keluarga, rakan-rakan sepasukan dan para peminat sentiasa menjadi sumber inspirasi saya. Saya berharap dapat membawa pulang kemenangan ini untuk Malaysia.

Iklan

“Saya sangat berterima kasih dan teruja dengan pencalonan ini. Ia bukan sahaja satu penghargaan untuk saya secara peribadi, tetapi juga satu kebanggaan buat Malaysia dan TV3 yang sentiasa menyokong karya seni tempatan. Saya akan lakukan yang terbaik untuk membawa nama Malaysia lebih tinggi di pentas antarabangsa," ujarnya.

Anna berharap dapat mengharumkan nama Malaysia di Seoul.

Iklan

Drama Hai Cinta, Dengarkanlah menyajikan kisah penuh liku kehidupan dan percintaan yang tidak dijangka. Anna membawa watak Cahaya, seorang wanita yang dikejutkan dengan berita kematian suaminya, Firdaus (Nazrief Nazri), pada hari ulang tahun perkahwinan mereka.

Ketika Cahaya sedang menghitung hari untuk menyambut kelahiran anak sulungnya, kebahagiaan yang diharapkan musnah dalam sekelip mata.

Sementara itu, SDA merupakan salah satu anugerah drama antarabangsa paling berprestij yang menghimpunkan bakat-bakat dari seluruh Asia. 

Anugerah itu memberi pengiktirafan kepada drama dan pelakon yang menonjol di peringkat serantau. Sistem pemilihan pemenang sangat kompetitif, dengan undian global peminat dijalankan melalui aplikasi IDOL CHAMP, menjadikan setiap pencalonan amat bermakna.

Malaysia pernah mencatat kejayaan sebelum ini apabila Siti Saleha merangkul kategori yang sama pada tahun lalu, menandakan prestasi pelakon tempatan semakin diiktiraf di peringkat serantau.