BERGELAR suami isteri dengan sekali lafaz, Aazief Khalid akhirnya sah mendirikan rumah tangga bersama pilihan hatinya, Izza.
Momen penuh emosi itu turut tular di media sosial selepas dimuat naik di Instagram Story.
Tampil segak berbaju Melayu rona putih, anak tiri kepada penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza itu menyerahkan satu dinar emas sebagai mas kahwin kepada isteri tercinta.
Majlis berlangsung dalam suasana intim dan elegan, jauh daripada kemeriahan besar-besaran, namun cukup sarat dengan makna tersendiri.
Momen indah hari bahagia pasangan cantik sama padan itu turut dikongsikan di Instagram Story milik Datuk Seri Siti Nurhaliza yang meluahkan rasa syukur dengan ucapan ringkas, Alhamdulillah.
Majlis yang berlangsung penuh keberkatan itu diserikan dengan kehadiran keluarga kedua-dua mempelai yang menjadi saksi penyatuan cinta mereka.
Sekadar imbasan, sekitar April lalu Aazief ada berkongsi berita gembira di laman sosial miliknya apabila dia selamat melamar Izza dan mengikat tali pertunangan.