BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Begitulah keadaan yang dilalui pelawak, Amir Raja Lawak yang kini berusaha mencari duit demi kelangsungan rawatan bapanya, Azmi Deris yang kini menghidap kanser usus.
Ujar Amir atau nama lengkapnya, Mohammad Amirullah Azmi, 36, baki bayaran sebanyak RM18,000 yang masih belum diterima hingga kini itu amat diperlukan memandangkan keadaan kesihatan bapanya semakin membimbangkan.
“Saya rasa semua tahu penyakit kanser memerlukan kos rawatan yang tinggi. Sebelum ini saya bersetuju bayaran dibuat secara ansuran, tetapi selepas melihat keadaan bapa yang semakin uzur, saya mahu ia diselesaikan sekali gus.
“Sekarang bapa tidak lagi mampu berjalan seperti dulu, malah pernah terjatuh hingga terhantuk dinding dan jatuh dari kerusi. Keadaan itu membuatkan saya semakin risau,” katanya.
Bekas peserta Raja Lawak musim ketiga itu berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Gala Pelancaran Penjenamaan Lindung, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di EQ Hotel Kuala Lumpur, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Amir menzahirkan rasa syukur apabila menerima pelbagai bantuan serta sokongan selepas isu tersebut mendapat perhatian ramai, termasuk sumbangan daripada rakan-rakan artis.
“Alhamdulillah, ramai yang membantu. Namun, saya sendiri tidak mengetahui jumlah sebenar sumbangan kerana ia dikreditkan terus ke akaun bapa,” ujarnya.
Sementara itu, ditanya mengenai tindakan undang-undang yang difailkan stesen televisyen, Awesome TV terhadap dirinya bersama dua pelawak lain iaitu Mamak Puteh dan Abu Mamu, Amir memilih untuk tidak mengulas lanjut.
“Saya tidak mahu memperbesarkan isu ini. Insya-ALLAH akan ada perbincangan dengan orang tengah dan pihak terlibat dalam masa terdekat.
"Buat masa ini saya lebih berhati-hati untuk keluarkan sebarang kenyataan. Jika ada makluman rasmi, saya akan tulis di media sosial,” jelasnya.
Terdahulu, Awesome TV memaklumkan pihaknya memfailkan saman terhadap tiga selebriti tersebut berhubung dakwaan kenyataan berunsur fitnah di media sosial.
Sebelum itu, Amir mendakwa hanya menerima sebahagian bayaran iaitu RM5,000 daripada jumlah keseluruhan RM23,000 bagi kerjasama dengan stesen televisyen berkenaan.