SEORANG remaja dijatuhkan penjara seumur hidup dan 12 sebatan selepas didapati bersalah membunuh rakan seasrama, Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, pada Mac tahun lalu.
Manakala 12 lagi bekas pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu yang terlibat dalam kes sama, masing-masing diperintah menjalani hukuman penjara sehingga mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertua Negeri Sabah.
Dalam kejadian tragis itu, mangsa ditemui meninggal dunia dengan 102 kesan lebam, lima luka melecet serta tanda-tanda mempertahankan diri di bilik asrama Kolej Vokasional Lahad Datu antara jam 9 malam, 21 Mac hingga 7.38 pagi, 22 Mac 2024.
Isu kehilangan wang dua pelajar, masing-masing berjumlah RM50 dan RM35, menjadi punca perselisihan faham sehingga mengakibatkan kematian mangsa yang dituduh mencuri. Ini merupakan kronologinya.
Pada prosiding 22 Ogos lalu, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap semua tertuduh.
Tertuduh sebelum itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah mengambil kira faktor umur kesemua tertuduh yang ketika kejadian berusia antara 16 hingga 19 tahun, selain meneliti laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abdul Latif bersama Ng Jhun Tao.
Berikut adalah info berkaitan hukuman penjara seumur hidup.
Menurut maklumat Portal Rasmi Jabatan Penjara Malaysia, banduan seumur hidup merupakan banduan yang dijatuhkan hukuman penjara selama 20 tahun atau 30 tahun.
Ia berbeza dengan banduan seumur hayat yang mana mereka perlu menjalani hukuman sepanjang hayat dan tiada tarikh bebas kecuali mereka mendapat pengampunan atau peringanan hukuman dari Yang di Pertuan Agong atau Sultan atau Yang di Pertua Negeri yang mana kesalahan tersebut dilakukan.
Sumber: Sinar Harian. Awani, Jabatan Penjara Malaysia