Dituduh & dipaksa mengaku curi RM85, 13 bersalah bunuh pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu. Ini kronologi menyayat hati pemergian Nazmie Aizzat
ISU kehilangan wang dua pelajar, masing-masing berjumlah RM50 dan RM35, menjadi punca perselisihan faham sehingga mengakibatkan kematian mangsa yang berusia 17 tahun dituduh mencuri.
Dalam kes menyayat hati ini pada Mac 2024 itu, Mohammad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terbaring dengan kesan kecederaan serta lebam pada beberapa bahagian badan di atas lantai bilik asrama bilik asrama 7 Resak dan 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu pada 22 Mac 2024.
Selepas lebih setahun siasatan, hari ini Mahkamah Tinggi Tawau memutuskan seramai bukan seorang dua tetapi 13 orang yang berusia antara 16 hingga 19 tahun didapati bersalah membunuh selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap semua tertuduh .
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sepanjang hayat jika sabit kesalahan.

Paling menyedihkan, pelajar itu ditemui terbaring dengan kesan kecederaan serta lebam di beberapa bahagian tubuh dan kejadian dilaporkan berlaku ketika bulan Ramadan! Berikut kronologi kes yang menyayat hati!
21 dan 22 Mac: Pelajar program Bioteknologi di Kolej Vokasional Lahad Datu (KVLD) Mohamad Nazmie atau lebih mesra dengan panggilan 'Ijat' di bilik asrama kolej berkenaan, disyaki dipukul secara beramai-ramai.
23 Mac 2024: Pelajar disyaki terbabit ditahan reman selama enam hari sebelum disambung sehingga 4 April.
2 April 2024: 13 remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Lahad Datu atas pertuduhan membunuh. tiada pengakuan direkodkan.
13 Jun 2024: Mahkamah Tinggi Tawau menolak permohonan ikat jamin bagi tujuh tertuduh kerana tiada alasan istimewa dikemukakan selain permohonan bersifat pramatang selain kes belum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
16 Mei 2024: Mahkamah Majistret Lahad Datu menetapkan 27 Jun untuk sebutan semula kes sementara menunggu hasil laporan kimia dan bedah siasat.
25 Julai 2024: Prosiding sebutan semula kes dijalankan secara tertutup di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani. Prosiding berkenaan dijalankan secara tertutup kerana kes itu melibatkan pesalah di bawah umur. Pihak pendakwaan mendapat izin untuk mendakwa dan rekuisisi daripada Pejabat Peguam Negara untuk memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi Tawau.
13 Ogos 2024: Kesemua 13 remaja didakwa di Mahkamah Tinggi Tawau atas pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Mereka mengaku tidak bersalah dan mahkamah menetapkan 10 hari perbicaraan.
19 November 2024: Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif dalam ucapan pembukaannya menegaskan bahawa pihaknya akan membuktikan kesemua 13 tertuduh terlibat memukul sehingga membawa kepada kematian mangsa.

19 November 2024: Hakim Mahkamah Tinggi Tawau Datuk Duncan Sikodol melawat lokasi kejadian di bilik asrama Kolej Vokasional Lahad Datu.
20 November 2024: Perbicaraan hari kedua ditangguhkan susulan bantahan daripada peguam berhubung isu lantikan peguam. Tarikh baru ditetapkan 26 November 2024.
26 November 2024: Warden Asrama, Nuhrullah Aminuddin, dalam keterangannya memaklumkan Allahyarham Mohamad Nazmie ditemukan dalam keadaan sudah tidak sedarkan diri semasa kejadian kira-kira 6.30 pagi pada 22 Mac. Bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) sempat diberikan kepada mangsa.
27 November 2024: Penolong Pegawai Perubatan di Hospital Lahad Datu, Mohammad Zul Amree Hamzah, 31, mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia antara satu hingga dua jam sebelum pasukan perubatan tiba di lokasi dan mengesahkan kematian pada 7.38 pagi, 22 Mac.
27 November 2024: Pakar Patologi Forensik, Dr Dzureena Abdul Mutalib, 39, mengesahkan punca kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan dada dan tisu lembut akibat trauma tumpul. Sebanyak 107 kesan kecederaan pada hampir keseluruhan tubuh Mohamad Nazmie.
27 November 2024: Siti Hamidah Jumari, 45, ibu kepada Allahyarham Mohamad Nazmie menangis ketika diminta membuat pengecaman gambar arwah anaknya. Beliau hanya dapat membuat pengecaman pada sekeping gambar kerana sukar mengawal perasaan sedih.
27 November 2024: Hakim Datuk Duncan Sikodol mengeluarkan amaran kepada keluarga tertuduh yang hadir di mahkamah supaya tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan.
28 November 2024: Saksi dakwa nampak mangsa dipukul oleh empat tertuduh, kira-kira 9 malam pada 21 Mac, namun tidak melaporkan kejadian itu kepada warden asrama kerana tidak mahu terbabit dan takut dipukul.
29 November 2024: Dua saksi pendakwaan memaklumkan perselisihan faham berhubung kecurian wang dipercayai menjadi punca Mohamad Nazmie dipukul walaupun mangsa menafikan melakukan perbuatan itu.

Kedua-dua saksi yang merupakan pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu itu turut memberitahu mahkamah bahawa mereka tidak melaporkan kejadian itu kepada warden asrama kerana takut mereka juga akan turut dipukul.
Tertuduh pertama menumbuk perut Ijat (Mohamad Nazmie), ketika itu Ijat cuba membongkok bagi melindungi badannya daripada dipukul dan reaksi (Mohamad Nazmie) seperti menahan sakit.
2 Disember 2024: Saksi pendakwaan ke-12 mendakwa melihat 10 tertuduh 'mengerumuni' mangsa ketika berada di bilik asrama kolej berkenaan dan telah menumbuk serta menendang mangsa.
"Ketika kejadian, saya berada di katil tertuduh ke-12 sambil bermain telefon dan kedudukan antara katil dengan tempat kejadian tidak begitu jauh," katanya.
Ijat dibawa masuk ke bilik tersebut oleh 10 tertuduh terbabit bersama tertuduh ketujuh dan ke-12 pada kira-kira 10 malam, bagaimanapun saksi tidak pasti apa yang dilakukan oleh tertuduh ketujuh dan ke-12.
Saksi berkata selepas itu, Ijat keluar dari bilik tersebut dan kembali ke bilik asrama 7 Resak untuk mandi namun sekali lagi dibawa masuk ke bilik 5 Belian sebelum tertuduh kesembilan menumbuk lengan mangsa namun dihentikan oleh tertuduh pertama.
Turut berlaku pergaduhan satu lawan satu antara tertuduh ke-11 dengan Mohamad Nazmie Aizzat di tengah bilik sebelum tertuduh kedua tiba dan bertanya mengenai perkara yang berlaku. Kemudian tertuduh pertama menerangkan tentang mangsa mencuri duit tertuduh ketiga RM50 dan tertuduh keempat RM30.

Tertuduh kedua arahkan semua keluar kecuali tertuduh ke-12 dan seorang pelajar lain. Tertuduh kedua mengunci pintu bilik itu serta menutup lampu bilik. Saksi berkenaan turut memaklumkan mendengar bunyi sesuatu dihempas pada katil dan lokar besi sebelum tertuduh pertama dan kedua membawa mangsa.
Saksi pendakwaan ke-11 juga memberitahu mahkamah bahawa dia ada melihat tertuduh pertama dan kelima memukul mangsa di bilik asrama 5 Belian pada 11 malam ketika melalui bilik itu untuk ke tandas bagi mencuci kain.
Dia juga melihat mangsa di bilik asrama 7 Belian iaitu ketika tertuduh kedua memapahnya masuk ke bilik tersebut di mana tertuduh pertama, kelima dan ke-11 berada.
Pada masa yang sama, saksi ke-10
Ijat ketika itu dalam keadaan lemah dan hanya bertuala. Semasa baring nampak Ijat tertuduh pertama, kelima serta ke-11 menyelimutkan dan memakaikan Ijat baju milik tertuduh pertama.
Selain itu, turut dilihat bahagian rusuk kiri Ijat lebam manakala bahagian telinga kiri biru. Ketika bangun bersahur, turut dilihat keadaan Ijat seperti sedang tidur
4 Disember 2024: Mohamad Nazmie Aizzat tidak bangun ketika dikejutkan untuk bersahur, kira-kira 3.40 pagi 22 Mac.
5 Disember 2024: Saksi pendakwaan memberitahu mahkamah, Ijat mengaku ada mengambil wang milik dua daripada 13 tertuduh sebelum memulangkannya semula, menyebabkan dia dipukul pada malam 21 Mac 2024.

Saksi pendakwaan ke-19 Putra Azdaniel Jhalal Razhiel Jhalal, 19, yang juga pelajar diploma kolej itu berkata, dia tidak pasti mangsa mencuri duit siapa dan beliau pada asalnya pergi ke bilik asrama itu bagi mencari pensel warna untuk menyelesaikan tugasan membuat landskap pada 10 malam, 21 Mac.
Masuk 7 Resak, saksi nampak Ijat dan tertuduh kelima berbincang di tengah bilik. Tertuduh kelima menuduh Ijat mencuri duit, kemudian Ijat pergi ke lokarnya dan bawa keluar duit RM50, RM10, RM5 dan tiga keping RM1, lalu menyerahkan kepada tertuduh kelima.
Dakwanya, Ijat mengaku dan berkata 'iya, aku ambil'. Kemudian terus tertuduh pertama, keempat serta kelima memukulnya.
Sewaktu pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif, Putra Azdaniel Jhalal berkata, ketika kejadian itu dia berada di tengah manakala ketiga-tiga tertuduh berada di sebelah kirinya dan mangsa di sebelah kanannya.
Pukulan ketiga-tiga tertuduh kepada mangsa adalah lebih daripada sekali, bagaimanapun saksi tidak dapat memastikan bahagian mana tubuh mangsa yang terkena pukulan tersebut.
Saksi berkenaan berkata, kira-kira sejam kemudian dia ke bilik asrama 5 Belian kerana masih mencari pensil warna dan ketika itu menyaksikan tertuduh ke-12 menumbuk badan mangsa dan tertuduh kedua memijak kepala mangsa yang ketika itu sedang terbaring.
Dia juga mendukung mangsa di belakangnya untuk ke tandas Exco Belian untuk mandi, namun tertuduh kedua tidak membenarkannya masuk ke tandas berkenaan dengan alasan mangsa sedang mandi dan saksi terpaksa menunggu di luar tandas.
Selepas lima minit, saksi kemudian memapah Ijat masuk ke bilik asrama 7 Belian kerana tidak tahu bilik asramanya. Dia kasihan melihat Ijat tiada tenaga, tidak mampu berjalan. Saksi baringkan Ijat ke tilam.
5 Disember 2024: Peguam dakwa saksi pendakwaan tidak kompeten dan berbohong selepas gagal memberikan jawapan munasabah termasuk tidak mengetahui tarikh pernyataan saksinya disediakan.
6 Disember 2024: Pegawai forensik PDRM menemukan kesan darah pada lantai dan tilam bilik asrama di kolej berkenaan yang dipasang tali kuning ketika menjalankan siasatan di lokasi kejadian, kira-kira 10 pagi, 24 Mac.
9 Disember 2024: Pendakwaan menutup kes selepas panggil 25 saksi.
Mahkamah Tinggi Tawau diberitahu bahawa mangsa ditemukan mati pada Mac lepas, dipaksa mengaku mencuri selepas dipukul. Semasa disoal balas oleh peguam Kamarudin Mohmad Chinki, ASP Suddin tidak bersetuju dengan cadangan bahawa mangsa melakukan perbuatan mencuri.
Katanya, dalam siasatan yang telah dijalankan, (didapati) Ijat mengaku kerana terdesak akibat dipukul dan dipaksa mengaku perbuatan mencuri.
Suddin juga berkata, pihaknya telah melakukan simulasi insiden pada malam 26 Mac di bilik asrama 5 Belian bagi menguji tahap penglihatan di lokasi kejadian.
Beliau berkata, simulasi itu mendapati tahap penglihatan adalah jelas dan pengecaman wajah boleh dibuat kerana terdapat cahaya lampu di bahagian koridor asrama 5 Belian di lokasi berkenaan selain dibantu cahaya lampu bangunan bersebelahan.
28 Februari 2025: Mahkamah perintah 13 tertuduh bela diri. Hakim Datuk Duncan Sikodol memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya mewujudkan prima facie terhadap semua 13 remaja.
10 Mac 2025:Kes pembelaan bermula dengan keterangan semua tertuduh diberikan secara bersumpah dari kandang saksi. Dua tertuduh mendakwa mereka dipaksa membuat pengakuan berhubung kematian mangsa.

11 Mac 2025
Tertuduh kesembilan dakwa dihasut pukul mangsa. "Dia tarik saya, dia cakap dia mahu nampak saya memukul, lepas itu dia tolak saya untuk memukul arwah Ijat, waktu itu arwah Ijat melindungi mukanya, saya teragak-agak untuk pukul.
"Saya ketika itu pukul bahagian lengan kanan arwah Ijat sebanyak dua kali sahaja, pukulan saya itu tidak kuat,"katanya ketika membacakan keterangan saksi di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol.
Tertuduh yang sama juga memberitahu mahkamah bahawa dia turut melihat saksi pendakwaan ke-19 menendang pinggang Ijat sehingga mangsa terlempar jauh.
12 Mac 2025: Tertuduh pertama mendakwa hanya menolak dan menepis bahu mangsa manakala tertuduh kedua menampar muka, memukul bahu, menendang dan memijak pinggang Ijat.
"Sewaktu saya masuk ke bilik 5 Belian, saya nampak mangsa di tengah bilik duduk di lantai... ramai yang mengerumuni mangsa, saya kemudian menyuruh mereka keluar dari bilik untuk bersendirian dengan mangsa, selepas semua keluar saya kemudian bertanya sama ada perkara itu benar atau tidak.
"Saya suruh dia berdiri dan menjawab pertanyaan saya, waktu itu dia tidak mengaku dan saya berasa marah dengan jawapannya lalu saya menampar muka (mangsa) sehingga dia terjatuh di tepi loker, kemudian saya angkat dia dan menanyakan soalan sama namun dia masih tidak mengaku," katanya.
Difahamkan, Ijat ada merayu agar berhenti dimukul dan sudah tidak tahan dan tertuduh mengaku akhirnya pemuda itu mengaku.
Ketika pemeriksaan semula oleh peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin, saksi itu memaklumkan pada awalnya, dia hanya ingin menyiasat tentang kejadian mencuri itu tetapi ketika mangsa tidak mengaku, dia terbawa dengan emosi dan berasa marah.
13 Mac 2025: Tertuduh keenam mengaku memukul dan menendang mangsa kerana kecewa.

14 Mac 2025 Tertuduh kelapan mendakwa tidak nampak mangsa dibelasah beramai-ramai.
15 Mac 2025: Tertuduh kesembilan mendakwa dihasut untuk memukul mangsa. Prosiding pembelaan ditutup selepas 18 saksi, termasuk semua tertuduh, selesai memberi keterangan.
29 April 2025: Pendakwaan memfailkan hujahan bertulis.
6 Mei 2025: Pembelaan mengemukakan hujahan balas.
11 Jun 2025: Keputusan kes yang sepatutnya dijadualkan hari ini ditangguh ke tarikh lain sebanyak tiga.
22 Ogos 2025: Mahkamah mendapati semua 13 tertuduh bersalah mengikut Seksyen 302 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Keputusan hukuman ditetapkan 28 Ogos.
Hakim Datuk Duncan Sikodol berkata, berdasarkan penilaian keseluruhan bukti, mahkamah berpuas hati bahawa 13 tertuduh bertindak secara bersama dengan niat bersama hingga menyebabkan kematian mangsa.
Katanya, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Ujar beliau, pembelaan tertuduh sama ada berupa penafian total, alibi, pengakuan separa atau menuding kepada pelajar lain didapati bercanggah dengan bukti saksi bebas serta tidak munasabah.
“Hujahan pembelaan bahawa tertuduh hanya mahu memberi pengajaran (teach a lesson) kepada mangsa adalah tidak berasas kerana kecederaan yang dialami terbukti cukup parah dan secara semula jadi membawa maut.
“Isunya bukan sama ada tertuduh berniat untuk membunuh, sebaliknya sama ada kecederaan yang disengajakan itu sudah memadai dalam keadaan biasa untuk menyebabkan kematian.
“Bukti perubatan jelas menunjukkan ia memang membawa maut," katanya.
Duncan berkata, alasan provokasi juga tidak terpakai kerana apa yang berlaku bukan reaksi spontan, sebaliknya serangan berlarutan dan berulang kali.
Beliau turut menolak hujah bahawa mangsa mungkin terselamat sekiranya menerima rawatan segera, kerana keterangan pakar hanya menyebut ia satu kemungkinan, bukan kepastian.
Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 28 Ogos ini untuk prosiding hukuman sementara menunggu laporan akhlak daripada Pegawai Kebajikan Masyarakat mengikut peruntukan Seksyen 90(12) Akta Kanak-Kanak 2001.
Sumber: Sinar Harian, Astro Awani
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

