JANGAN main-main dengan perbuatan menjeling. Ia juga boleh menjadi punca anda didakwa membuli dan menyakiti rakan sekerja!
Seperti seorang jururawat di Scotland ini yang menerima pampasan sebanyak £25,000 (kira-kira RM143,000) selepas tribunal pekerjaan mendapati dia menjadi mangsa buli berterusan di tempat kerja.
Antara perlakuan yang dikenal pasti termasuk jelingan berulang setiap kali bersuara yang akhirnya menyebabkan tekanan emosi sehingga membawa kepada peletakan jawatan.
Tribunal juga menyifatkan kegagalan majikan menangani aduan sebagai pelanggaran serius terhadap kontrak pekerjaan mangsa.
Memetik Daily Mail, panel tribunal mendapati mangsa, jururawat pergigian, Maureen Howieson, 64, telah menjadi mangsa perlakuan yang 'biadab, mengasingkan, membuli dan memperlekehkan' oleh rakan sekerjanya, Jisna Iqbal.
Howieson dan Jisna yang sama-sama bertugas di Great Junction Dental Practice, Edinburgh dilaporkan tegang, sehingga mendorong Howieson telah berkhidmat dalam bidang pergigian selama lebih 40 tahun meletakkan jawatan.
Wanita itu bertugas di bahagian kaunter penerimaan pesakit kerana masalah artritis yang menyukarkan dirinya melaksanakan tugas sebagai jururawat.
Bagaimanapun, pada tahun lalu, klinik tersebut telah dijual kepada Dr Fary Johnson Vithayathil yang kemudiannya mengambil Jisna bekerja.
Jisna yang merupakan doktor gigi bertauliah di India namun belum layak untuk menjalankan amalan pergigian di United Kingdom.
Justeru, beliau mengambil alih tugas kaunter penerimaan ketika Howieson sedang cuti sakit.
Tribunal di Edinburgh dimaklumkan bahawa hubungan antara mereka mula menjadi tegang apabila Howieson mendakwa Jisna bersikap biadab dan tidak menghormatinya.
Antaranya dengan kerap diabaikan, dijeling setiap kali beliau bersuara, berhenti berbual apabila dirinya memasuki bilik dan enggan melaksanakan tugasan apabila diminta.
Jisna terdahulu menolak dakwaan tersebut. Bagaimanapun, panel tribunal menerima versi kejadian yang dikemukakan oleh Howieson.
Klinik berkenaan mendakwa tugas Howieson tidak berubah, namun tribunal mendapati kenyataan itu sama sekali bercanggah dengan bukti yang ada.
Terdahulu, pada September 2024, Howieson telah bertemu dengan Dr Vithayathil dalam keadaan menangis memberitahu dia telah diperkecilkan sehingga hanya melakukan kerja-kerja seperti seorang tukang cuci.
Keesokan harinya, Jisna enggan meninggalkan kaunter penerimaan pesakit manakala Howieson dijadualkan memulakan syif pada waktu petang.
Howieson kemudian dimaklumkan tentang perkara itu kepada Dr Vithayathil. Doktor berkenaan berkata akan berbincang dengan isterinya tentang aduan berkenaan, namun perkara itu tidak berlaku.
Hubungan antara dua rakan sekerja itu terus merosot dan difahamkan, Howieson telah mengalami serangan panik akibat tekanan yang dialaminya.
Howieson meletakkan jawatan pada bulan Oktober selepas menerima bayaran gaji yang kurang daripada sepatutnya
Hakim Tribunal Pekerjaan, Ronald Mackay, menyifatkan kegagalan pihak majikan menangani kebimbangan yang dibangkitkan oleh Howieson sebagai satu kelalaian tidak wajar dan tidak boleh diterima.
Beliau berkata janji majikan bahawa isu-isu tersebut akan ditangani tidak ditepati, sekali gus mewujudkan persekitaran kerja yang bermusuhan secara berterusan.
Tribunal mendapati bahawa berlaku beberapa pelanggaran serius terhadap kontrak Howieson, dan melayakkan beliau untuk menerima pampasan sebanyak £25,254 (RM144, 525.74)
Sumber: Daily Mail