PELAKON dan usahawan Rebecca Nur Al Islam baru-baru ini memberi bayangan tentang status sebagai ibu tunggal hari ini mengesahkan sudah pun berpisah.
Aktres berusia 39 tahun itu juga mendedahkan bahawa dia kini telah selesai menjalani tempoh iddah.
"Ya saya sudah habis iddah," demikian titipnya menerusi Insta Story.
Berkongsi foto dalam penerbangan, ibu kepada tujuh cahaya mata itu berlepas ke Tanah Suci untuk menunaikan umrah.
"Assalammualaikum semua. Doakan, saya dalam penerbangan ke rumah nabi Muhammad SAW. Doakan saya selamat dan dipermudahkan ALLAH SWT dalam semua urusan," kongsinya.
Rebecca juga memohon maaf kerana tidak mampu membalas mesej mereka yang cuba menghubunginya menerusi Direct Message di Instagram dan aplikasi WhatsApp.
"Saya minta maaf kepada lebih 1000 mesej di Whatsapp dan yang DM saya yang tidak dapat saya balas.
"Terima kasih mengambil berat tentang saya, insya-ALLAH saya okay. Teruskan doa untuk saya.
"Saya tidak dapat menjawab pertanyaan anda yang terlalu banyak bertanya. Maaf, saya perlu ruang. Semoga ALLAH sentiasa membalas segala kebaikan doa yang anda kirimkan, aamiin," kongsinya.
Terdahulu, Rebecca mengemas kini profail di Instagram memaklumkan dirinya sebagai 'single mother of 7'.
Menerusi satu hantaran, pemenang Dewi Favourite, Dewi Remaja 2005/2006 itu menyatakan telah mencuba sedaya upaya menyelamatkan rumah tangga.
Rebecca juga turut berterima kasih kepada Datuk Norazam Sulaiman atas kenangan selama 18 tahun.
Sekadar info, Rebecca berkahwin dengan peguam dan ahli perniagaan itu pada 14 Januari 2011.
Pasangan itu dikurniakan sembilan orang anak yang mana lima daripadanya merupakan anak kandung, dua orang anak tiri dan dua orang anak angkat.