MASAM, selekeh, tidak menarik, cepat mati sebab BMI (Body Mass Index) tidak normal?
Itu antara alasan yang lelaki berikan apabila ditanya mengapa tidak suka wanita yang gemuk atau plus-size.
Kedengaran kejam, tetapi daripada ribuan komen itulah muncul satu kisah luar biasa, kisah seorang wanita berbadan besar yang membuktikan gemuk bukan penghalang bahagia.
Pemilik nama sebenar, Nur Ashura Mohd Junaide tampil berani berkongsi pengalamannya.
Katanya, gemuk bukan tiket untuk dihina kerana di sebalik tubuh berisi, dia masih mampu menjalani hidup dengan penuh keyakinan.
“Wahai wanita, jangan cepat terasa, okay.
"Percayalah, apabila sampai jodoh, gemuk mana pun kita tetap akan kahwin,” kongsinya ketika ditemu bual SinarPlus baru-baru ini.
Mesra disapa Asyura Junaide, dia yang berniaga laksa Johor secara kecil-kecilan juga tidak segan mengaku tentang situasi dirinya.
"Alhamdulillah, pada saya rezeki, jodoh dan ajal telah ditetapkan sejak dari alam rahim lagi,” ungkapnya lagi.
Bertubuh besar juga sering dikaitkan dengan risiko menghidap pelbagai penyakit.
Apabila persoalan tersebut diutarakan kepadanya tentang tahap kesihatan dirinya, Asyura mengakui dia tidak pernah mengabaikan penjagaan kesihatan.
"Saya sentiasa memantau tekanan darah dan gula. Orang kurus itu lebih bahaya sebab mereka fikir bertubuh langsing adalah sihat. Alhamdulillah, pada usia 31 tahun bacaan saya normal,” katanya.
Walaupun sudah mendirikan rumah tangga, perjalanan hidupnya tidak semudah yang disangka.
Dalam pada itu, dia turut mendedahkan sebelum ini pernah hamil, namun rezekinya belum tiba apabila mengalami keguguran.
"Namun, itu tidak bermakna saya berputus asa, sebaliknya sentiasa cuba,” ujarnya.
Tahun 2022 menjadi detik yang sukar apabila doktor mengesan kewujudan sista besar pada ovari ketika dia membuat pemeriksaan kehamilan.
"Bayi yang dikandung tidak dapat diselamatkan, namun di situlah bermula sebuah kisah cinta dan kesetiaan yang mengharukan.
"Tetapi bayi tidak dapat diselamatkan. Bermulalah perjalanan ulang-alik hospital. Dan lelaki inilah yang setia menemani sehingga hari pembedahan,” ujarnya lagi.
Cinta sejati
Bagi Asyura, suaminya, Ridzuan Ali adalah bukti cinta sejati. Di saat orang lain mungkin memandang rendah pada dirinya, lelaki itu tetap ada tanpa pernah berganjak.
"Lillahi Ta‘ala, saya sentiasa berdoa agar ALLAH tinggikan darjat suami saya,” luahnya penuh syukur.
Kisah Asyura bukan sekadar luahan seorang wanita berbadan besar yang sering dihina. Ia adalah simbol bahawa bahagia tidak pernah ditentukan oleh angka pada penimbang.
Benar, kesihatan itu penting, tetapi lebih penting lagi ialah memiliki pasangan yang menerima kita seikhlas hati.
"Yang penting, sentiasa bersyukur, jaga kesihatan ikut kemampuan dan hargai orang yang sayang kita tanpa syarat,” katanya menutup cerita.