KEMATIAN tragis remaja perempuan, Zara Qairina Mahathir, terus mencetuskan persoalan selepas dilaporkan tidak mungkin terjatuh sendiri secara sengaja atau ditolak.
Tiada sebarang dadah terlarang dikesan dalam tubuh remaja itu kecuali sejenis ubat antisawan. Inkues kini menjadi titik tumpu bagi mencari keadilan buat remaja itu yang pergi dalam keadaan penuh misteri.
Memetik Sinar Harian, hal berkenaan didedahkan Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu, salah seorang daripada empat pakar forensik yang melakukan autopsi ke atas remaja berusia 13 tahun itu pada 10 Ogos lepas.
Hadir sebagai saksi pertama memberi keterangan di hadapan Koroner merangkap Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan, Dr Jessie mendedahkan arwah tidak mungkin terjatuh sendiri secara sengaja atau ditolak dari koridor tingkat tiga asrama sekolahnya kerana hasil pemeriksaan lokasi serta bedah siasat mendapati faktor ketinggian pagar konkrit dan palang besi tidak memungkinkan arwah jatuh dengan cara sedemikian.
“Ketinggian dari lantai ke palang besi mendatar paling atas yang dipasang pada pagar konkrit tingkat tiga ialah 118 sentimeter (cm), manakala saya dimaklumkan ketinggian antemortem si mati ialah 154 cm.
Dr Jessie berpendapat, dengan ketinggian dan struktur pagar konkrit itu, tidak munasabah untuk si mati terjatuh sendiri atau ditolak tanpa unsur lain.
Menurut beliau, berdasarkan ketinggian pagar dan lebar pagar, palang besi serta fizikal mangsa, adalah mungkin Zara Qairina memanjat pagar, melintasi palang besi sebelum berada di atas struktur itu.
“Saya telah menyediakan laporan pemeriksaan lokasi bersama laporan pemeriksaan bedah siasat,” ujarnya.
Katanya, laporan lengkap bedah siasat dan pemeriksaan lokasi sudah disediakan selepas beliau meneliti rekod perubatan, termasuk hasil X-ray, imbasan CT (tomografi berkomputer) serta imbasan CTA (tomografi angiogram berkomputer).
Pemeriksaan lokasi terdahulu dilakukan Dr Jessie pada 2 Ogos di Blok Rabiatul Adawiyah, Asrama Qurratu A’yun, SMKA Tun Datu Mustapha Limauan (TDML), Kinarut.
Ubat antisawan dikesan
Dalam hal berkaitan, Dr Jessie turut mendedahkan ubat antisawan dikenali sebagai Phenytoin dikesan dalam tisu buah pinggang arwah. Katanya, ubat berkenaan digunakan untuk merawat epilepsi, selain diberikan sebagai langkah pencegahan sawan terhadap pesakit mengalami kecederaan otak traumatik teruk.
“Analisis toksikologi di Jabatan Kimia tidak mengesan sebarang dadah biasa dalam sampel hati si mati. Namun, Phenytoin dikesan dalam tisu buah pinggang.
Dalam masa yang sama, Dr Jessie turut memaklumkan beberapa sampel antaranya tulang sternum, tulang rusuk, kuku jari tangan, calitan faraj, dubur dan perineum diambil untuk tujuan profil DNA ketika proses bedah siasat.
Katanya, sampel hati dan buah pinggang turut diambil sebelum dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis dadah serta toksikologi manakala semua spesimen tersebut diserahkan kepada pegawai penyiasat bersama borang pengendalian spesimen dan barang kes dan borang rasmi berkaitan bagi pemeriksaan lanjut.
Malah, pemeriksaan turut dilakukan pada bahagian alat kelamin luaran, selaput dara, saluran faraj, perineum dan dubur arwah tidak menunjukkan sebarang kesan pembengkakan, lebam, koyakan atau kecederaan. malah keadaan selaput dara didapati masih utuh.
Inkues kematian Zara Qairina bermula Rabu dan Khamis sebelum bersambung pada 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September serta 22 hingga 30 September depan.
Sekadar info, Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada jam 4 pagi, 16 Julai.
Imbas kembali 13 Ogos lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan polis manakala pada 8 Ogos, AGC turut mengarahkan kubur Zara Qairina digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan.
Sumber: Sinar Harian 1, 2