Kubur Zara Qairina dihias indah, orang ramai tak berkira duit, masa dan tenaga. 'Terdetik kerana simpati dan kasih sayang'
NAMA Zara Qairina terus diingati. Di sebalik pusara yang dihias indah dengan bunga segar, batu nisan baharu dan rumput yang terjaga rapi, tersimpan kisah menyentuh hati tentang solidariti dan kasih sayang masyarakat terhadap Allahyarham.
Tanpa mengira bangsa, usia mahupun latar belakang, orang ramai tampil menghulurkan wang ringgit, masa dan tenaga demi memperindah tempat persemadiannya – semata-mata kerana rasa simpati yang mendalam dan kasih yang terbit daripada keikhlasan hati.
Menerusi hantaran laman Facebook Lahad Datu, para sukarelawan dilihat turun padang dengan penuh dedikasi, sanggup mengorbankan masa, tenaga dan juga perbelanjaan sendiri.
"Inilah wajah-wajah yang sukarela mencantikkan pusara Allahyarham Zar aQairina.
"Sanggup keluarkan wang ringgit, masa dan tenaga, terdetik kerana simpati dan kasih sayang terhadap arwah," kongsinya.

Mereka bergotong-royong membersihkan kawasan tanah perkuburan, menanam rumput hijau, menghias pusara dengan batu putih dan menambah elemen landskap kecil agar kelihatan lebih teratur dan indah.
Segala usaha itu dilakukan tanpa sebarang paksaan sebaliknya lahir keprihatinan dan rasa kasih dan nilai kemanusiaan yang tinggi Walaupun tiada pertalian darah, mereka tetap sudi mencurahkan tenaga dan bakti demi seorang insan yang tidak pernah mereka kenali secara peribadi.
Lebih daripada sekadar kerja sukarela, usaha ini juga menjadi medan penyatuan hati – mempererat hubungan sesama insan serta menyemarakkan semula semangat gotong-royong yang kian terhakis dalam arus kehidupan moden.

Warganet menzahirkan rasa terharu dengan kebaikan yang dicurahkan. Tidak kurang juga yang mendoakan agar pembelaan terhadap kematian remaja itu diadili sewajarnya.
"Alhamdulillah. Bertuahnya anak syurga ini. Bertuah juga ibu, ayah dan seluruh keluarganya. Arwah adik Zara dikelilingi oleh insan-insan yang baik. Tidak putus-putus orang datang menziarahi pusaramu," tulis Aineh Daud.
"#JusticeForZara Terima kasih kepada semua insan baik yang telah berkorban jiwa, tenaga dan wang ringgit. Semoga segala kebaikan itu dikembalikan oleh ALLAH dengan ganjaran yang lebih besar. Amin," titip Hasnah Mansor.
"Apakah agaknya amalan dan doamu Zara, sehingga ALLAH menyentuh hati seluruh insan yang dekat mahupun jauh. Walaupun pemergianmu begitu tragis, namun ALLAH telah tunjukkan betapa tinggi darjatmu di dunia ini," kongsi Mohd Zaki.
"Alhamdulillah… Bidadari syurga pilihan ALLAH, pemergianmu bukan sekadar satu kehilangan, tetapi sebuah kematian yang menghidupkan. Menyatukan jiwa-jiwa yang terpisah, menyentuh hati seluruh umat tanpa mengira bangsa mahupun agama.Satu peringatan yang halus, namun mendalam," Nor Ashikin Abd Rahman.

Sekadar info, Mahkamah Koroner mula mendengar inkues bagi mengenal pasti punca kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir, dengan beberapa saksi dijangka dipanggil memberi keterangan, hari ini.
Jabatan Peguam Negara (AGC) yang bertindak selaku Pegawai Pengendali sebelum ini menyatakan kira-kira 70 saksi akan dipanggil sepanjang inkues, termasuk pakar patologi yang menjalankan bedah siasat ke atas jenazah arwah Zara Qairina sebagai antara saksi utama.
Inkues itu diadakan berikutan permintaan keluarga Allahyarham Zara Qairina melalui peguamnya yang memohon perkara itu daripada AGC pada awal bulan lalu sebagai satu usaha untuk mengenal pasti punca kematian arwah.
Prosiding inkues dijadual bermula hari ini dan esok, sebelum disambung pada 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September dan 22 hingga 30 September ini.
Sumber: Lahad Datu Info
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
